Ibu bapa tidak perlu risau PICK Remaja - Noor Hisham

Ibu bapa tidak perlu risau PICK Remaja

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua ibu bapa dan penjaga dinasihatkan untuk mendaftarkan anak-anak mereka yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi institusi pendidikan masing-masing dan melalui aplikasi MySejahtera dengan kadar segera.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan pemberian vaksin kepada kanak-kanak kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun sebagai persediaan menjelang pembukaan sekolah dengan selamat.

Sasaran itu katanya, 60 peratus daripada kanak-kanak remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang bulan November ini manakala 80 peratus daripada mereka yang layak divaksinasi mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi tahun depan. 

“Pelaksanaan ini susulan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah memberikan kelulusan bersyarat kepada semua kanak-kanak remaja yang telah mencapai umur 12 tahun dan ke atas untuk divaksinasi. 

“Seperti ubat-ubatan lain, vaksin Covid-19 juga mempunyai kesan-kesan sampingan yang pada kebiasaannya adalah ringan dan pulih dalam masa yang singkat. Bagaimanapun, KKM ingin menegaskan bahawa faedah mengambil vaksin Covid-19 ini adalah jauh lebih bermanfaat berbanding kemudaratan akibat jangkitan wabak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Noor Hisham berkata, ibu bapa dan penjaga juga perlu mengambil perhatian kepada kanak-kanak selepas mendapat suntikan vaksin seperti kemungkinan sakit dan bengkak di tempat suntikan, penat, sakit kepala, sakit otot, menggigil, dan demam. 

Katanya, radang jantung (myocarditis) dan radang selaput jantung (pericarditis) boleh berlaku tetapi kesan yang sangat jarang berlaku, malah kebiasaannya selepas beberapa hari menerima dos kedua terutamanya kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak lelaki. 

“Risiko myocarditis dan pericarditis ini adalah lebih rendah berbanding risiko untuk berlaku radang jantung yang disebabkan jangkitan Covid-19, di mana ianya adalah 37 kali ganda lebih tinggi. 

“Ibu bapa juga perlu mengawasi gejala awal seperti sakit dada, kesukaran bernafas dan jantung berdegup laju selepas anak menerima vaksin untuk segera mendapatkan penilaian kesihatan dan rawatan manakala kanak-kanak itu disarankan tidak melakukan aktiviti lasak dalam tempoh seminggu selepas vaksinasi,” katanya. 

Beliau berkata, sekiranya ibu bapa dan penjaga terdapat sebarang pertanyaan tentang program vaksin Covid-19 ini, dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan kanak-kanak atau pegawai perubatan yang bertauliah bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Semua institusi-institusi pendidikan, perlindungan, pemulihan dan tahanan dikehendaki mendaftar institusi masing-masing melalui portal vaksinanakku.herokuapp.com bagi membolehkan penjadualan vaksinasi dibuat untuk kanak-kanak yang berada di institusi masing-masing oleh Pejabat Kesihatan Daerah manakala kanak-kanak di luar institusi, pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera adalah diperlukan,” katanya. 

Media melaporkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) bagi menjayakan PICK Remaja. 

“Kementerian juga mengenal pasti sekolah di seluruh negara untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada murid sekolah manakala kerjasama strategik KPM dan KKM ini pastinya dapat mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah.

“Secara keseluruhan, seramai 377,591 murid berusia 16 tahun dan 371,676 murid berusia 17 tahun di seluruh negara,” katanya.

Kenyataan itu susulan Radzi menghadiri pelancaran PICK Remaja di SMK Presint 8 (1) di sini, yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

PICK Remaja menyasarkan 60 peratus daripada 3.2 juta remaja berusia 12 sehingga 17 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos pada November ini manakala 80 peratus menerima dos lengkap pada Januari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.