Harga makanan ayam stabil selepas Covid-19 diisytihar endemik - Utusan Malaysia

Harga makanan ayam stabil selepas Covid-19 diisytihar endemik

NIK Muhammad Zawawi Salleh (dua dari kiri) mendengar taklimat mengenai baja urea biru yang digunakan oleh petani di Kampung Nam Dam, Pendang, Kedah, hari ini. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Harga makanan ayam di negara ini dijangka stabil di pasaran selepas pandemik Covid-19 diisytiharkan sebagai endemik tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata,  kenaikan harga makanan ayam berlaku ketika ini berikutan negara terpaksa mengimport jagung yang bekalannya turut terkesan akibat penularan wabak itu.

“Kita bukan pengeluar jagung, justeru terpaksa mengimportnya. Jika kita menanam sendiri, kosnya jauh lebih tinggi sedangkan negara pengeluar jagung boleh jual kepada Malaysia pada harga murah dan lebih rendah.

“Bagaimanapun ketika pandemik Covid-19, negara pengeluar jagung turut terkesan dan aktiviti pertanian mereka menjadi terbatas.

“Oleh itu, hasil jagung keluaran negara berkenaan menjadi rebutan seluruh dunia menyebabkan harganya meningkat,” katanya selepas Majlis Perasmian Musim Menuai Program Pengurusan Tanaman Padi Bersepadu (PTPB) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) – PETRONAS di Kampung Nam Da,  di sini hari ini.

Nik Muhammad Zawawi berkata, kerajaan dijangka mengisytiharkan Covid-19 sebagai endemik tidak lama lag  dan begitu juga negara lain di seluruh dunia, sekali gus bakal memberi kesan terhadap harga makanan berasaskan pertanian.

Ditanya kemungkinan berlaku masalah ternakan sakit atau mati di ladang sehingga menjejaskan bekalan ayam dan mempengaruhi kenaikan harganya, beliau berkata, kes terbabit memang berlaku tetapi hanya dalam jumlah minimum.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi memberitahu, Program PTPB NAFAS-PETRONAS yang dilaksanakan sebagai projek rintis di Kampung Nam Dam sejak April lalu, merekodkan hasil tuaian amat memberangsangkan.

Beliau berkata, purata pengumpulan tuaian musim ini mencatat hasil tujuh tan sehektar berbanding 2.95 tan sehektar pada musim sebelumnya.

“Program ini disertai 68 pesawah yang menjadi ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubur Panjang dengan membabitkan kawasan tanaman seluas 70 hektar.

“Kita berharap program ini mampu menjadi model kepada semua petani, terutama generasi muda, dalam mengaplikasikan teknologi pertanian. Selepas ini, mereka boleh melaksanakan projek penanaman padi berskala besar dalam negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya