JERAI: Kesemua 2,500 guru yang menolak pemberian vaksin di negara ini akan diberi tugasan lain di sekolah setelah tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka seperti diumumkan semalam.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, dakwaan mengatakan guru-guru tersebut hanya akan bergoyang kaki serta dibenarkan bekerja dari rumah adalah tidak benar.
“Kalau ada yang mengatakan mereka tak ada kerja hendak dibuat, itu tak betul. Di sekolah ada banyak perkara lain yang perlu dilaksanakan dan mereka akan diberi tugasan itu.
“Itu tindakan segera di pihak kementerian. Dalam masa sama, kami juga sebenarnya akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai tindakan selanjutnya terhadap guru-guru ini selaku penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam di sini hari ini.
Semalam Radzi mengumumkan, guru-guru yang enggan mendapatkan vaksin Covid-19 ataupun anti vaksin tidak akan dibenarkan mengajar, berinteraksi atau bersama murid dalam kelas menjelang pembukaan sekolah bulan depan.
Menurutnya, pihak kementerian dalam masa sama akan mengeluarkan garis panduan kepada guru terlibat mengenai tugas sesuai bakal dilakukan mereka apabila tidak boleh mengajar di kelas.
Tambahnya, beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dengan guru-guru terlibat selepas ini bagi membincangkan perkara itu.
Dalam pada itu katanya, langkah kementerian untuk bertanya kepada ibu bapa mengenai kebenaran pemberian vaksin kepada pelajar sekolah baru-baru ini hanyalah satu bentuk kaji selidik bagi mendapatkan gambaran awal mengenai perkara itu.
Menurutnya, kaji selidik itu masih dilaksanakan kini dan pihaknya dijangka mendapat maklum balas dalam masa terdekat.
“Itu bukan satu arahan sebaliknya kaji selidik bagi mendapatkan gambaran awal kerana sebarang urusan berkaitan vaksinasi adalah di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF).
“Insya-Allah hasilnya akan diketahui dalam masa terdekat. Secara keseluruhannya, kami hanya ingin melihat secara umum gambaran awal dari ibu bapa berkaitan hal itu,” katanya.










