Guru KAFA belum vaksin mungkin tidak dibenar mengajar bersemuka - Utusan Malaysia

Guru KAFA belum vaksin mungkin tidak dibenar mengajar bersemuka

IDRIS Ahmad (kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Matang, dekat Bukit Gantang. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang belum menerima vaksin mungkin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci oleh Bahagian Pendidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, berikutan itu guru KAFA dinasihatkan supaya segera mengambil vaksin sebelum dibenarkan mengajar secara bersemuka dengan murid.

“Guru adalah orang paling dekat dengan murid, jadi saya nasihatkan agar semua guru KAFA ambil vaksin.

“Apa yang takut sangat tentang soal ambil vaksin ini? Bilangan kematian harian menunjukkan ramai yang mati sebab jangkitan Covid-19 daripada mati ambil vaksin.

“Perkara ini akan dibincangkan di Bahagian Pendidikan Jakim nanti. Pada saya sepatutnya cikgu KAFA kena ambil vaksin,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Matang Gelugor, Matang dekat sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin berkata, guru yang enggan atau masih belum menerima vaksin Covid-19, tidak dibenarkan terlibat dalam sesi pengajaran di dalam kelas atau berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar.

Keputusan itu dibuat bagi memastikan sesi persekolahan yang akan dibuka kelak selamat bagi pelajar, guru dan pihak pengurusan sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN