Gangguan air: Sepang, Kuala Langat, Putrajaya pulih sepenuhnya - Utusan Malaysia

Gangguan air: Sepang, Kuala Langat, Putrajaya pulih sepenuhnya

AIR Selangor menggerakkan lori-lori tangki agihan bagi memastikan kelangsungan bekalan air di kawasan terjejas terutama di premis awam seperti hospital. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Hampir keseluruhan dalam 463 kawasan terjejas akibat gangguan mulai mendapat bekalan air pada pukul 7 pagi tadi apabila pemulihannya mencapai 92.2 peratus.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, antara kawasan pulih sepenuhnya (100 peratus) adalah daerah Sepang melibatkan 194 kawasan, Kuala Langat (20) dan Putrajaya (23).

Walau bagaimanapun, Petaling yang melibatkan 172 kawasan dan Hulu Langat (54) masih belum pulih sepenuhnya, namun pemulihannya kedua-dua daerah berkenaan mencapai 81.4 dan 92.6 peratus.

“Air Selangor ingin menyarankan agar pengguna yang telah mendapat bekalan air membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya.

Masalah gangguan bekalan air yang melanda 463 kawasan sebelum ini sepatutnya selesai pada Jumaat lalu akibat pencemaran bau pada sumber dikesan menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas pada Selasa.

LRA berkenaan terpaksa dihenti tugas sekali lagi apabila pencemaran sama turut dikesan menyebabkan gangguan bekalan berlarutan sehingga hari ini, dan keadaan dijangka pulih sepenuhnya pada esok.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan pensampelan ujian mendapati bau seakan pelarut dikesan pada aliran air berhampiran sebuah kilang di sekitar Sungai Rinching, iaitu 16 kilometer dari muka sauk Jenderam Hilir dekat sini.

Hal itu dimaklumkan Exco Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian yang menyatakan ujian itu dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selepas berlaku sekali lagi pencemaran bau di sungai itu kelmarin.

Sebelum ini juga, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, sebuah kilang di kawasan perindustrian di Jenderam Hilir, Sepang disyaki menjadi punca pencemaran bahan penyebab bau.

Beliau berkata, insiden berulang di lokasi sama dalam tempoh kurang dari satu minggu tersebut amat mendukacitakan dan perbuatan tidak bertanggungjawab penjenayah alam sekitar itu perlu dikenakan tindakan tegas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN