Fasa 2 PPN: Melaka tingkatkan 500 jumlah jemaah - Utusan Malaysia

Fasa 2 PPN: Melaka tingkatkan 500 jumlah jemaah

CHE SUKRI CHE MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri bersetuju menetapkan jumlah maksimum jemaah sebanyak 500 orang bagi solat Jumaat, fardu dan solat jenazah di masjid kerajaan, bermula esok.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ketetapan baharu berkaitan aktiviti pengimarahan dan jumlah maksimum jemaah dikeluarkan berdasarkan status terkini negeri ini yang sudah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, jumlah 500 jemaah bagaimanapun terhad kepada keluasan masjid berdasarkan penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Contohnya jika masjid hanya mampu memuatkan 300 jemaah dengan penjarakan, maka jumlah maksimum 300 orang adalah terpakai.

“Bagi masjid kariah dan institusi pula, maksimum 200 orang yang terdiri daripada pegawai masjid dan jemaah dengan kaedah yang ditentukan oleh jawatan kuasa.

“Untuk surau, maksimum adalah 100 orang, juga terdiri daripada pegawai surau dan jemaah dengan kaedah yang ditentukan oleh jawatan kuasa. Jawatan kuasa hendaklah memastikan ventilasi dan sistem pengudaraan yang baik di masjid dan surau bagi mengelakkan risiko jangkitan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, menyentuh berkenaan aktiviti pengimarahan pula, Che Sukri berkata, yang dibenarkan hanyalah pelaksanaan solat fardu berjemaah, pengurusan dan solat jenazah serta majlis akad nikah sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan JAIM.

Tambahnya, kuliah Maghrib pada waktu antara Maghrib dan Isyak, kuliah Subuh pada waktu selepas solat Subuh dalam tempoh waktu yang bersesuaian dan tazkirah atau bacaan Yasin sebelum solat Jumaat turut dibenarkan.

“JAIM juga memberi kelonggaran jemaah mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil pada waktu antara Maghrib dan Isyak pada hari Khamis malam Jumaat serta aktiviti singgah solat di masjid dan surau.

“Bagaimanapun, aktiviti kuliah Maghrib, kuliah Subuh dan tazkirah yang dibenarkan hanya boleh disampaikan oleh tenaga pengajar tempatan, tidak melibatkan aktiviti rentas negeri. Tenaga pengajar dari luar Negeri Melaka adalah dilarang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya