TASEK GELUGOR : Satu perbincangan telah diadakan bersama Kementerian Kewangan untuk menyelaras bentuk bantuan yang boleh diberi kepada petani dan pesawah susulan terdapat aduan mengenai subsidi petrol yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah inisiatif BUDI95 untuk golongan tersebut, ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya telah menerima aduan berkenaan dan keputusan mengenainya akan dilaksanakan dengan segera.
“Itu (subsidi petrol RON95) sedang diselaraskan dan kita memberi (bantuan) dalam pelbagai bentuk kepada mereka (petani dan pesawah).
“Kita memang sedang usahakan. Kementerian (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atau KPKM) dan Ketua Setiausaha (KPKM) kini sedang menyelaraskan perkara itu (dengan kerjasama Kementerian Kewangan).
“Saya akan bagi (maklumat) secara ‘detail’ (terperinci) selepas ini. Insya-Allah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Sektor Pertanian Kampung Guar Petai di Dewan Penempatan Banjir Kampung Labuh Banting, di sini, hari ini.
Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sebahagian petani dan pesawah yang menyifatkan subsidi petrol sebanyak 300 liter sebulan itu tidak mencukupi untuk melakukan kerja-kerja pertanian dan sebagainya.
Sebelum ini, Gerakan Melawan Penindasan Petani (Gempita) menyarankan supaya kerajaan mewujudkan kad petrol khas untuk pesawah bagi memastikan golongan itu mendapat akses terus kepada subsidi bahan api mengikut keperluan sebenar kerja sawah dan pertanian.
Koordinatornya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Muni berkata, hal ini demikian kerana, inisiatif BUDI95 yang diperkenalkan oleh kerajaan ketika ini tidak mengambil kira realiti penggunaan petrol untuk kelangsungan kerja pesawah di bendang.
“Saya cadang kerajaan segera wujudkan Kad Petrol Pesawah, seperti kad subsidi nelayan, tetapi, ia perlu dikeluarkan dan dipantau melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
“Dengan mekanisme ini, PPK dapat memastikan hanya pesawah berdaftar dan berkelayakan mendapat manfaat, di samping kawalan lebih rapi mengikut musim tanaman,” katanya yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Kedah.-UTUSAN










