PUTRAJAYA: Mesyuarat pertama Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri (CCFP), hari ini membincangkan enam topik utama termasuk diplomasi kesihatan yang bertepatan situasi dunia sekarang yang menghadapi pandemik Covid-19.
Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, majlis itu bukanlah bertujuan menggantikan dasar sedia ada tetapi ia bagi memperkasakannya mengikut keadaan semasa.
Selain diplomasi kesihatan, katanya, topik multilateralisme peringkat antarabangsa turut dibincangkan malah penerapan konsep kehidupan bersama dalam budaya damai sebagai produk Malaysia yang ingin diketengahkan dalam perbicangan fahaman pelbagai hala.
“Ekonomi digital pula adalah perkara ketiga yang amat bersesuaian kehendak Malaysia yang mementingkan soal perdagangan dan ekonomi dalam diplomasi.
“Diplomasi ekonomi memang sudah sedia ada namun ekonomi digital sesuatu yang lebih serius kerana selain soal keselamatan, ia juga melibatkan aspek teknologi dan perdagangan antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar sempena penubuhan Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri yang diadakan secara maya hari ini.
Saifuddin berkata, keselamatan siber juga bukan saja melibatkan soal keselamatan tetapi teknologi dan ekonomi.
Katanya, majlis itu berfungsi sebagai satu wadah untuk menyalurkan pandangan serta input daripada anggotanya di dalam proses penggubalan dasar-dasar luar negeri yang berkait rapat dengan kepentingan negara.
“Penubuhannya adalah selaras dengan pendekatan terbuka dan bersifat perundingan (Syura) di dalam proses penggubalan Dasar Luar Negeri.
“Pelantikan ahli-ahli adalah berdasarkan pengetahuan serta pengalaman mereka yang menyaksikan gabungan kepakaran daripada pihak kerajaan dan bukan kerajaan ini berupaya untuk menyumbang ke arah proses penggubalan dasar luar negeri yang pragmatik serta berdaya tahan bagi menghadapi cabaran semasa, terutamanya susulan penularan pandemik Covid-19,” katanya.
Tambahnya, melalui kaedah ini juga, ia diharap dapat turut memastikan Dasar Luar Negeri selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai titik tumpunya. – UTUSAN ONLINE