PETALING JAYA: Gara-gara mahu menguji kereta mewah masing-masing, empat lelaki ditahan di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran Awan Besar, di sini dalam Operasi Khas Samseng Jalanan, semalam.
Penahanan itu dibuat melalui operasi yang dijalankan Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman, antara pukul 10 malam hingga 4.45 pagi tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, pada mulanya, pasukan operasi melihat dua kereta jenis Nissan GTR R35 dipandu secara melawan arus didapati bersaing secara sendiri sehingga ke susur keluar kawasan rehat dan rawat (R&R) Awan Besar kira-kira pukul 11.20 malam.
Kata beliau, bagaimanapun, dua lagi kenderaan lain jenis BMW M6 dan Mercedes Benz A14 didapati melakukan aksi sama pada pukul 11.50 malam.
“Semua suspek kemudiannya dilihat memberhentikan kenderaan di kawasan parkir R&R Awan Besar dalam keadaan selamat pada 12.30 tengah malam.
“Susulan itu, sepasukan polis kemudian menghampiri semua suspek yang berusia 24 hingga 34 tahun dan menahan sebelum dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi berasingan, lapan remaja ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya di dua lokasi berasingan di kilometer 16 Lebuhraya Grand Saga arah Kuala Lumpur dan kilometer 8.8 Lebuhraya Persekutuan arah Klang.
Jelas beliau, kesemua remaja berusia 19 hingga 24 tahun itu menunjukkan aksi yang berbahaya ketika menunggang motosikal.
“Ada antara mereka bersaing sesama sendiri dan melakukan pelbagai aksi seperti zig-zag dan superman.
“Oleh itu, semua remaja berkenaan berjaya ditahan dan dibawa balik ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Tambah Mohd. Nadzri, kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.