Kesejahteraan untuk semua, melangkah ke 2026 dengan Semangat Malaysia Madani

Kesejahteraan untuk semua, melangkah ke 2026 dengan Semangat Malaysia Madani

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tahun Baru 2026 disifatkan sebagai lembaran penting untuk seluruh rakyat Malaysia memperbaharui azam dan tekad dalam membina sebuah negara yang sejahtera dan makmur dengan ‘Semangat Malaysia Madani’.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, tahun baharu bukan sahaja membawa harapan baharu, malah menjadi ruang muhasabah terhadap perjalanan negara serta tanggungjawab bersama untuk melangkah lebih jauh dalam agenda pembangunan nasional yang inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan.

Katanya, komitmen untuk memperkukuh pembangunan modal insan negara akan terus menjadi keutamaan khususnya melibatkan kebajikan pekerja, penyediaan peluang pekerjaan yang berkualiti, peningkatan kemahiran serta perlindungan sosial yang menyeluruh.

“Setiap dasar dan inisiatif akan terus digerakkan dengan berpaksikan prinsip keadilan sosial, keterangkuman dan kemanusiaan, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2026.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, kerajaan Madani di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus memastikan tiada mana-mana komuniti tercicir daripada arus pembangunan negara.

“Keinklusifan Malaysia Madani ini merangkumi kebahagiaan, kesejahteraan dan kemakmuran semua kaum di Malaysia,” kata Naib Presiden PKR itu.

Beliau yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India turut menegaskan komuniti India sebagai sebahagian penting daripada kemajmukan dan sejarah pembinaan negara serta akan terus diberi perhatian melalui pendekatan yang lebih menyeluruh, bersasar dan berimpak tinggi, khususnya dalam aspek sosioekonomi, pendidikan, kemahiran serta peluang pekerjaan.

Ramanan berkata, kestabilan sosial dan kemakmuran ekonomi hanya dapat dicapai apabila rakyat dilindungi, diperkasa dan diberikan peluang yang adil tanpa mengira latar belakang.

“Justeru, usaha memperkukuh hubungan antara kerajaan, majikan, pekerja dan masyarakat akan terus dipertingkatkan bagi membina ekosistem pekerjaan yang mampan, progresif dan berdaya tahan,” ujarnya.

Mengakhiri perutusan, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar melangkah ke tahun 2026 dengan semangat kebersamaan, menolak perpecahan serta memperkukuh perpaduan demi membina sebuah Malaysia yang lebih sejahtera, makmur dan harmoni untuk generasi hari ini dan masa hadapan.

“Selamat Tahun Baharu 2026, saya mendoakan tahun ini akan memberikan kejayaan yang lebih gemilang untuk semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×