PETALING JAYA: Pemandu Perodua Myvi kelabu yang memandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada 4 September lalu, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen dalam tempoh lima tahun.
Lelaki berusia 24 tahun itu juga tdikenakan hukuman penjara tiga hari dan denda RM8,000 atas kesalahan yang dilakukan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh memberitahu, tertuduh dibawa ke Mahkamah Trafik Jalan Duta hari ini.
Lelaki berkenaan yang bekerja sebagai ejen insuran dituduh di bawah Seksyen 42(1)1987 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana memandu secara melulu dan merbahaya.
“Hasil pertuduhan, pemandu kenderaan motokar tersebut mengaku bersalah dan dikenakan hukuman-hukuman berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Sarifudin, sekiranya tertuduh gagal untuk membayar denda, dia turut dipenjara enam bulan.
Pada 4 September lalu, seorang pemandu Perodua Myvi memandu melawan arus di MEX, menghala ke Putrajaya, menyebabkan kemalangan sebuah kereta lain yang cuba mengelak. – UTUSAN ONLINE










