ECRL perlu kekal lalui jajaran selatan - Ng Sze Han

ECRL perlu kekal lalui jajaran selatan

NG SZE HAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor berpendirian pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu kekal melalui bahagian selatan negeri itu.

Bahagian C pembinaan projek itu meliputi jajaran selatan termasuk di sekitar kawasan Kuala Langat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han menegaskan kerajaan negeri tidak pernah bersetuju dengan cadangan pembinaan ECRL melalui jajaran utara dalam beberapa sesi libat urus dengan pemilik projek iaitu Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) sebelum ini.

“Pendirian itu sejajar pelan pembangunan ekonomi negeri termasuk beberapa perancangan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membangunkan zon selatan Selangor. Ia antaranya melibatkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) yang telah memasukkan elemen pembinaan dan penggunaan ECRL di dalam Rancangan Tempatan 2025 MPSp,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita mengenai penjajaran laluan ECRL yang tidak melintasi hutan Kuala Langat dan bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Jelas Sze Han, persediaan turut dilakukan PBT lain untuk memudahcarakan pembinaan ECRL melalui jajaran selatan.

“Ia meliputi pelan yang sebelumnya telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan pada 2019. Menerusi perancangan rapi, pengoperasian ECRL di kawasan selatan akan memberi lebih limpahan ekonomi kepada rakyat sekali gus menyumbang pembangunan mampan Selangor,” ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya sudah membuat ketetapan pembinaan rel kereta api ECRL tidak boleh melalui kawasan utara sejak projek itu dilancarkan pada 2017.

“Disebabkan itu, tiada langsung kelulusan diberikan untuk pembinaan rel di kawasan berkenaan. Sebaliknya, kelulusan pembinaan diberikan kepada pihak MRL pada 2020 melalui jajaran selatan,” katanya.

Tambah Sze Han, MRL menerusi kenyataan pada 14 Januari tahun lalu memaklumkan jajaran Mentakab-Pelabuhan Klang yang melibatkan laluan di kawasan Negeri Sembilan dan Putrajaya akan dipamerkan di tapak Pemeriksaan Awam untuk cadangan dan maklum balas awam bagi tempoh tiga bulan. 

“Ia menandakan kedua-dua pihak sudah bersedia melaksanakan projek itu seperti yang dipersetujui iaitu pembinaan ECRL Bahagian C akan melalui zon selatan Selangor. Oleh demikian, langkah mengekalkan nyahwarta sebahagian kecil kawasan di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk pertimbangan jajaran ECRL adalah bertepatan dengan pendirian itu,” katanya.

Pada 10 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Besar diminta menjelaskan mengenai penyahwartaan sebahagian kecil HSKLU bagi pembinaan laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Projek ECRL sebelum ini dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong diubah kembali ke laluan Gombak selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah sejak Februa­ri tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya