Dunia bebas senjata nuklear perlu jadi realiti - Utusan Malaysia

Dunia bebas senjata nuklear perlu jadi realiti

SAIFUDDIN Abdullah ketika berucap secara maya pada Mesyuarat Tertinggi UNGA Ke-76 bagi peringati Hari Penghapusan Senjata Nuklear Sedunia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia sekali lagi mengulangi komitmen untuk melihat dunia yang bebas daripada ancaman senjata nuklear menerusi pelaksanaan pelbagai perjanjian berkaitan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah justeru berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wajar mempromosikan agenda ini kerana persenjataan itu tidak boleh diterima sama sekali.

“Walaupun ada perkembangan positif dalam beberapa tahun lepas, Malaysia tetap prihatin dengan kekurangan kemajuan melibatkan isu perlucutan senjata nuklear ketika ini,” katanya ketika berucap secara maya pada Mesyuarat Tinggi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Ke-76 bagi memperingati dan mempromosi Hari Penghapusan Senjata Nuklear Sedunia malam tadi.

Acara tahunan diadakan di ibu pejabat PBB, New York, Amerika Syarikat itu menyaksikan ramai pemimpin asing menzahirkan pendirian negara mereka berhubung perkara berkenaan.

Hari tersebut bersempena dengan mesyuarat peringkat tinggi buat kali pertama berlangsung bagi membincangkan pelucutan senjata nuklear ketika UNGA pada 26 September 2013 lalu.

Ketika ini, dianggarkan terdapat 13,080 senjata nuklear dimiliki pelbagai negara, namun tiada satu pun dimusnahkan sebagai susulan hasil pemeteraian beberapa perjanjian global.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Malaysia turut berkongsi kenyataan sama Azerbaijan yang merupakan Pengerusi Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) bagi mewakili 120 negara lain.

“Pengekalan status-quo kepada dunia yang masih ada senjata nuklear adalah tidak boleh diterima atau diteruskan di sebalik ancaman cabaran tidak menentu wabak Covid-19,” katanya.

Malah ujarnya, impian dunia bebas senjata itu antara isu pertama dibangkit ketika UNGA pada 1946 setelah setahun pengeboman atom di Jepun yang mengakhiri Perang Dunia Kedua.

Ini katanya, menyaksikan Perjanjian Pemansuhan Senjata Nuklear (NPT) pada 1968 lalu dan disusuli sepuluh kali persidangan pembaharuan semula triti itu, namun ancaman tetap ada.

Beliau merujuk kenyataan Malaysia ketika persidangan tersebut pada 1996 yang meluahkan kebimbangan banyak kuasa senjata nuklear tidak peduli perjanjian itu dan ia terbukti benar.

“Usaha pengawalan perlumbaan persenjataan pula semakin tegang dan kritikal kecuali hanya ada satu cara yang dijamin iaitu penghapusan secara total senjata nuklear,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Malaysia menyambut baik penguatkuasaan Perjanjian Larangan Senjata Nuklear (TPNW) bermula 22 Januari lalu yang dijangka mengukuhkan norma baharu sejagat.

Triti itu sudah diratifikasi 56 negara termasuk Malaysia yang baru menandatanganinya tahun lalu susulan resolusi ditetapkan UNGA pada 2016, sebelum diluluskan setahun kemudiannya.

Natijahnya kata Saifuddin, perjanjian itu memberi isyarat jelas bahawa senjata nuklear tidak boleh lagi digunakan, dijadikan bahan ancaman malahan perlu dilupuskan secepat mungkin.

“Proses nyah persenjataan itu bakal menyumbang kepada keselamatan dan keamanan global serta berkeyakinan TPNW menjadi pelengkap pelbagai instrumen legal sejagat,” jelas beliau.

Malaysia ujarnya bahkan melihat ke hadapan untuk meneruskan perhubungan konstruktif dalam menuju mesyuarat pertama pelbagai negara mengenai TPNW menjelang Mac 2022 kelak.

Beliau mengakhiri ucapan dengan berharap sambutan hari tersebut akan menjana gelombang dan kesedaran awam antarabangsa untuk menyegerakan dunia yang bebas senjata nuklear. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN