IPOH: Pemilik tanah yang mempunyai tunggakan cukai akan menikmati diskaun pembayaran 50 peratus jika melunaskannya sekali gus sepanjang bulan ini.
Pejabat Menteri Besar Perak dalam kenyataannya hari ini berkata, ia adalah sebahagian insentif menarik ditawarkan kerajaan Perak menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera Fasa 2 2021.
Kenyataan itu menjelaskan insentif tersebut bagaimanapun tidak akan diberikan kepada pemilik tanah yang membuat bayaran secara ansuran.
“Insentif ini hanya ditawarkan pada bulan September tahun ini sahaja, manakala diskaun 30 peratus diberikan kepada bayaran sekali gus yang dibuat bulan depan.
“Bagi pembayaran sekali gus yang dibuat pada November dan Disember, diskaun 10 peratus diberikan,” kata kenyataan itu sambil meminta rakyat Perak merebut peluang dan insentif disediakan itu.
Kenyataan itu juga menyebut, pakej rangsangan bagi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) itu membenarkan pelanjutan pengecualian denda lewat cukai tanah bagi semua hak milik sehingga 31 Disember depan.
Selain itu, pemohon yang telah menerima Notis 5A atau 7G boleh menikmati diskaun 10 peratus premium tanah, tetapi insentif itu tidak terpakai kepada mana-mana kelulusan premium yang diluluskan pada kadar nominal.
Insentif lain, katanya, termasuk pelanjutan pemberian 20 peratus diskaun cukai petak (strata) bagi kategori perniagaan sehingga akhir tahun ini.
“Selain daripada penambahbaikan dan pelanjutan pemberian insentif dari sudut cukai tanah, urusan-urusan tanah bagi maksud penyerahan urus niaga dan bukan urusniaga, serahan dokumen dan pelanjutan tempoh bagi Notis 5A dan Notis 7G turut dipertimbangkan sehingga 31 Disember depan.
“Ia menawarkan pengecualian denda lewat bagi penyerahan urus niaga, pengecualian denda lewat bagi kutipan hak milik, pelanjutan tempoh kelulusan surat kebenaran pindah milik atau gadaian serta pelanjutan tempoh Notis 5A dan Notis 7G secara automatik dan pengecualian yuran permohonan,” jelasnya. – UTUSAN