Disangka maut kemalangan rupanya mati dibunuh  - Utusan Malaysia

Disangka maut kemalangan rupanya mati dibunuh 

ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh yang ditemukan di hadapan sebuah premis di Jalan 6, Changkat Minden, Jelutong, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang buruh binaan warga tempatan ditemukan maut dipercayai dibunuh seorang kenalannya di hadapan sebuah premis di Jalan 6, Changkat Minden, Jelutong, di sini petang ini.

Mangsa lelaki berketurunan India Muslim berusia 52 tahun itu ditemukan orang awam dalam keadaan terbaring di lokasi kejadian kira-kira pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian kemalangan membabitkan mangsa terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan awal di lokasi mendapati kematian lelaki tersebut tidak menunjukkan sebarang unsur kemalangan sebaliknya disyaki dibunuh.

“Hasil siasatan lanjut  polis kemudiannya  mendapati mangsa telah dipukul seorang lelaki selepas suspek berang dengan tindakan si mati yang mengeluarkan kata-kata tidak elok terhadapnya.

“Si mati ditemukan terbaring bersebelahan dengan motosikalnya dan sebelum itu telah mendapat bantuan orang awam untuk mengalihkan motosikal dan memberi bantuan pernafasan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Soffian memberitahu, pemeriksaan lanjut ke atas si mati juga menemukan kesan lebam pada dahi kiri dan kecederaan luka pada kening sebelah kanan.

Sehubungan itu tambahnya, polis kini giat memburu suspek berusia 42 tahun bagi membantu siasat dan mengenal pasti  punca sebenar kejadian.

“Kita difahamkan mereka selalu berada di sini (lokasi kejadian) untuk melepak dan minum minuman keras” ujarnya yang menambah, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Kesesakan iaitu bunuh. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN