Dasar pengambilan pelajar MRSM kekal - Utusan Malaysia

Dasar pengambilan pelajar MRSM kekal

MAHDZIR Khalid (tengah) menyerahkan mesin hemodialisis kepada Hospital Kuala Nerang, Padang Terap. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Kerajaan mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan cadangan perubahan yang diumumkan sebelum ini tidak akan diguna pakai.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat ‘Keluarga Malaysia’.

“Saya hendak tegaskan dasar dan syarat kemasukan ke MRSM kita kembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini bagi memberi peluang kepada semua pelajar untuk memohon.

“Kelayakan dan pemilihan pelajar pula dibuat berdasarkan kepada Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta keperibadian pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan Amal Pelitawanis TNB di Hospital Kuala Nerang di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan MRSM dirayu tidak mengehadkan permohonan kemasukan daripada kalangan pelajar Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan, sebaliknya diperluaskan kepada pemohon sekolah aliran agama.

Ini kerana, para pelajar seperti sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), sekolah rendah agama integrasi (SRAI) dan sekolah agama menengah (SAM) juga menepati dasar dalam MRSM apabila mempunyai peratusan tertentu pelajar yang terdiri dalam kalangan B40, M40 dan T20.

Rayuan itu dinyatakan Jawatankuasa Permuafakatan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRAI Negeri Selangor yang dalam satu kenyataan bersama 11 YDP seluruh negeri itu.

Pada 29 Ogos lalu, MRSM membuka permohonan kemasukan ke Tingkatan 1 dan 4 bagi tahun 2022 dan mempelawa calon-calon berkelayakan untuk mengikuti Sistem Pendidikan Maktab Rendah Sains Mara (SPMRSM) yang menawarkan program-program berteraskan kurikulum kebangsaan dan antarabangsa.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menambah, dasar 10 peratus pengambilan pelajar bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan.

Jelasnya, pada masa ini, MRSM hanya mampu menampung sebanyak 7,500 pelajar tingkatan satu dan 2,000 pelajar tingkatan empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan.

Bagaimanapun katanya, permohonan yang diterima tahun ini pula berjumlah 77,834 bagi tingkatan satu dan 24,495 bagi tingkatan empat untuk sesi kemasukan 2022.

Selain itu tambahnya, dasar Mara menyasarkan untuk menyediakan kuota 60 peratus kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pengajian di MRSM.

Bilangan MRSM di seluruh negara adalah 55 buah dan mampu menampung 37,198 pelajar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya