Dalami agama: Usah jatuh hukum pada artis - Utusan Malaysia

Dalami agama: Usah jatuh hukum pada artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini, ramai kalangan artis dan selebriti diberitakan mula seronok untuk mengikuti program keagamaan cenderung kepada jemaah tabligh dengan istilah sinonim yang disebut-sebut, ‘keluar tiga hari’.

Perkara itu tentunya satu berita yang baik dan positif dan tiada siapa mampu menidakkannya meski ada yang bercanggah pendapat mengenai siapa sosok agamawan yang memimpin kelompok artis-artis ini.

Pun begitu, entah mengapa ada pula sesetengah orang yang seakan tidak gemar melihat teman-teman artis dan selebriti ini berusaha mencari ilmu agama sedangkan sebagai seorang Islam, ia satu tuntutan.

Adakah hanya kerana mereka ini menggalas kerjaya sebagai artis maka pandangan serong adalah yang selayaknya dilemparkan walau di depan mata, mereka ini sedang mencuba menjadi seorang manusia yang lebih baik?

Jika sekali pun ada yang mempunyai agenda tertentu dengan berkongsi perkara tersebut dalam media sosial, namun adakah ia tetap dilihat sebagai perbuatan yang negatif sedangkan ia barangkali mampu membuka mata dan hati orang lain untuk sama-sama berbuat kebaikan?

Tepuk dada tanya selera. Namun beberapa pandangan di bawah dirangkumkan oleh Pancaindera buat sajian minda para pembaca yang budiman.

Pandang negatif petanda hati tak bersih – Mawi

Pengarah, penyanyi dan penyampai radio Zayyan FM, Mawi, 38, melahirkan rasa gembira dan syukur apabila melihat ramai rakan artis dan selebriti kini mula mendalami ilmu agama dan berubah ke arah kebaikan.

Baginya, sebagai sesama sahabat, tentunya dia akan menyokong setiap perkara yang baik dan mengaku tidak mempunyai masalah dengan hal itu.

“Saya rasa tak perlu kita pertikai artis itu ikut mana-mana jemaah asalkan yang dilakukan itu adalah perkara baik,kita sokong.

“Sebenarnya, ikut mata hati kita dalam menilai. Kalau artis itu kita lihat secara luarannya sedang melakukan hal baik, tak salah pun. Janganlah kita mudah melihat dalam suasana syak wasangka.

“Jika itu berlaku, bermakna kitalah yang ada masalah hati kerana asyik nak syak sesuatu yang tidak baik. Periksa semula hati itu, bersih atau tidak,”katanya.

Mengaku dirinya tidak pernah sekali pun menyertai mana-mana jemaah, Mawi bagaimanapun tidak menolak mempunyai ramai kawan yang sememangnya daripada jemaah tabligh.

Pun begitu, ia bukan satu masalah untuknya sama-sama meluangkan masa bersama walaupun sekadar duduk dan berbual sambil menghirup secawan kopi.

“Saya ada ramai kawan jemaah. Sejak saya duduk di kampung lagi. Kalau mereka ada berdekatan kawasan rumah saya di Bangi, Selangor ini, ada saja yang akan hubungi dan ajak minum kopi.

“Tak pernah saya pergi sertai program tiga hari, 10 hari atau 40 hari pun, cuma sekadar duduk luangkan masa dengan mereka sejam dua dan kemudian saya balik.

“Terpulang pada diri masing-masinglah nak sertai atau tidak. Ini diri sendiri punya usaha nak belajar dan berubah bukan? Saya sokong sahaja mana-mana perkara baik,”katanya.

Itu satu perkara yang sangat baik – Imam Muda Asyraf

Usaha golongan selebriti dan pempengaruh media sosial yang mendekati jalan dakwah dengan menyertai jemaah tabligh dilihat sebagai satu pendekatan positif yang perlu diraikan.

Penceramah bebas, Imam Muda Asyraf melihat keadaan itu sebagai satu perkembangan yang baik.

“Semua orang, tidak kira apa pun latar belakang tetap fitrahnya mencari kebaikan yang mana boleh diperoleh dengan bermacam-macam jalan. Hari ini, ada sebahagiannya mengikuti jemaah tabligh.

Apa pun jalan yang kita ikuti, perlu ada panduan, guru dan pembimbing. Jemaah tabligh juga ada gurunya. Kita ada hak memilih laluan kebaikan yang kita kehendaki,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf juga mengajak orang ramai agar menyokong perkara yang baik ini.

“Orang yang berhijrah kita gelarkan Muhajirin. Tetapi, harus diingat pada zaman Rasulullah SAW adanya juga golongan Ansar yang menolong orang berhijrah. Nabi sebut dua golongan ini, yang berhijrah dan yang menolong orang berhijrah.Jadi, jangan pula kita halang orang yang ingin berhijrah sebaliknya kita buka laluan,” katanya lagi.

Pada masa sama, Asyraf turut menasihatkan golongan yang ingin berubah agar tidak patah semangat dan terus istiqomah.

“Kalau kita betulkan niat kita kerana Allah SWT, maka kita tidak tergugat langsung dengan komen netizen yang menghina.Jadi kuatkan semangat. Insya-Allah, datanglah godaan dan ujian, kiri kanan depan dan belakang, kekuatan itu tetap akan ada. Kalau niat tak betul, banyakkan beristighfar. Insya-Allah, Tuhan akan beri kebaikan,” jelasnya.

Biarlah mula amal kecil supaya dapat kekal istiqamah – Syah Inteam

Bagi pendapat salah seorang vokalis kumpulan nasyid terkenal Inteam, Syah, dia mengharapkan penghijrahan rakan selebriti adalah benar-benar datangnya dari hati.

Malah, Syah juga menitipkan harapan buat mereka agar mencari guru agama yang betul dan bukan hanya sekadar mengikut trend.

“Masya-Allah, Alhamdulillah. Satu perkembangan sangat positif di saat kita menghadapi ujian pandemik Covid-19.

“Kita juga harapkan yang berubah itu asbab betul-betul lahir dari hati tulus dan dipimpin oleh guru-guru yang murshid. Kita bimbang mereka ini terikut-ikut trend atau sebagainya.

“Jadi, sangat penting bagi saya adalah perlu disusuli dengan elemen pimpinan guru untuk memimpin golongan yang ingin berhijrah ini,” tuturnya.

Akui usaha untuk mendekatkan diri ke jalan Allah dan ilmu akhirat banyak cabarannya, namun dia berkongsi nasihat agar perubahan mereka biarlah daripada amalan yang kecil dan tidak perlu drastik supaya dapat kekal istiqamah.

“Harapnya kita dapat istiqamah kerana berhijrah ini satu perkara baik. Cuma untuk kekal dalam penghijrahan adalah cabaran yang sukar.

“Yang paling penting sekali bak kata orang adalah, ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’. Jadi biarlah daripada amal yang kecil, jangan terlalu drastik sangat supaya kita dapat kekal istqamah.

“Carilah guru yang melandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.Saya harap mereka ini turut berdoa untuk kami bersama terus beristiqamah dalam satu perubahan,” katanya kepada Pancaindera.

Jangan nilai luaran, ini semua aturanNya – Anita Baharom

KEBELAKANGAN ini, ramai selebriti dan pempengaruh berkongsi penglibatan mereka dalam program kerohanian dalam media sosial.

Bagi pelakon terkenal, Anita Baharom, dia gembira dan bersyukur melihat perkembangan positif itu.

Tapi, jabatan netizen negara, seperti biasa tidak berdiam diri buat kerja. Tanggapan mereka pada pembabitan golongan terkenal itu ibarat sekadar mengikuti program semata-mata.

Mengulas tanggapan netizen, kongsi Anita, hidayah adalah milik Allah dan janganlah menilai seseorang dari segi luarannya dalam media sosial semata-mata, kerana kita tidak tahu hubungannya dengan sang pencipta.

“Tidak kiralah program apa dan ada atau tiada anjurannya. Tanya pada diri sendiri, belum tentu kita buat bukan? Semua ini tidak akan berlaku tanpa izin-Nya.

“Setidaknya ada permulaan yang baik buat diri kita dan berakhir dengan konsisten. Allah kurniakan dan gerakkan hati kita untuk berubah. Allah itu Maha membolak-balikkan hati hamba-Nya.

“Mungkin ramai lagi insan lain yang berubah. Cuma selebriti orang nampak, malah akan menjadikan ikutan. Semoga kita semua imbangi antara kerjaya dan akhirat,” ujarnya.

Menjadikan diri sebagai cermin, Anita yang juga ahli jawatankuasa Himpunan Artis Sayang al-Quran (HASA) mengimbas ketika di awal penghijrahannya.

“Saya masih ingat ketika mula-mula nak berhijab. Saya bermula dengan program fesyen Muslimah, ikut Yatt Hamzah.

“Kemudian ikut Adam Corrie sertai usrah. Program usrah itu pada mulanya pun saya tiada masa.

“Tapi saya minta izin dengan Allah semoga dapat sertai program seumpama itu dan akhirnya Allah perkenankan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.