KLANG: Sebanyak 3,200 tin susu steril cuba dibawa masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang gagal selepas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor mengesannya di Kompleks Barter Trade, Pelabuhan Klang Selatan, di sini.
MAQIS Selangor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 menahan sebuah kapal dari Indonesia, kelmarin yang membawa masuk susu bernilai RM4,500 itu.
“Hasil pemeriksaan pada kapal terbabit mendapati, sebanyak 3,200 tin susu cuba dibawa masuk ke dalam negara tanpa Permit Import MAQIS.
“Kesemua tin susu yang bernilai RM4,500 itu ditahan untuk tindakan lanjut kerana gagal mengemukakan dokumen pengimportan yang sah seperti Permit Import MAQIS dan Sijil Kesihatan dari negara asal,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










