Covid-19: Seorang lagi gagal ke Langkawi - Utusan Malaysia

Covid-19: Seorang lagi gagal ke Langkawi

ANGGOTA polis melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard dalam kalangan pelancong di Pantai Chenang, Langkawi. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan satu kes positif susulan saringan ke atas seramai 2,326 individu di lapangan terbang melalui Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi, Kedah, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga pukul 12 tengah hari, seramai 2,507 orang disaring dengan seramai 2,326 individu di lapangan terbang manakala 181 lagi di Jeti Kuala Perlis.

Katanya, bagi jenis ujian yang dijalankan pula, seramai 2,481 individu melakukan ujian Covid-19 iaitu 2,468 RTK-Ag dan 13 RT-PCR manakala 26 individu lagi adalah kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah yang dikecualikan.

“Hasil daripada saringan di tiga lapangan terbang, satu individu positif dikenal pasti melalui ujian RTK-Ag di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

“Kes positif ini didapati berada dalam kategori satu dan diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk menjalani kuarantin di rumah selama tempoh 10 hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, daripada 2,507 individu yang disaring tersebut, seramai 2,506 individu diluluskan untuk meneruskan perjalanan ke Langkawi iaitu 2,325 orang melalui kapal terbang dan 181 lagi melalui feri.

“Semua individu itu diminta terus mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dalam apa keadaan sekalipun bagi menjaga keselamatan diri, keluarga, dan masyarakat  sekeliling,” katanya.

Utusan Online Khamis lalu melaporkan lima kes positif daripada 2,528 orang telah menjalani ujian RTK-Ag sebelum mereka berlepas ke Pulau Langkawi di pintu masuk udara dan laut.

Noor Hisham berkata, seramai 2,546 orang disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi melibatkan 1,250 orang yang disaring di empat pintu masuk lapangan terbang dan 1,296 orang melalui feri di Kuala Perlis.

“Susulan ujian RTK-Ag ke atas 2,528 orang, sebanyak lima kes positifCovid-19 dikesan merupakan kategori satu iaitu tidak bergejala. Kesemua mereka ini telah diberikan HSO untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.