CAAM tarik balik penggantungan pesawat Boeing 737 MAX - Utusan Malaysia

CAAM tarik balik penggantungan pesawat Boeing 737 MAX

MODEL pesawat Boeing 737 MAX mempunyai banyak kelebihan terutama kecekapan penjimatan minyak. –  IHSAN BOEING COMPANY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)  meluluskan pengoperasian semula pesawat model Boeing 737-8 dan 737-9 yang digantung sejak 2019.

Penarikan balik sekatan ke atas dua model itu yang turut dikenali sebagai Boeing 737 MAX di negara ini selaras dengan Arahan Keselamatan CAAM 01/2021 – Operasi Boeing 737-8/-9.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo berkata, isu yang bertarikh 2 September 2021 itu sekali gus menggantikan Arahan Keselamatan bertarikh pada 13 Mac 2019 yang melarang B737 MAX, namun arahan terbaharu sudah pun membolehkan penerbangan komersial dengan menggunakan pesawat tersebut.

Kebenaran tersebut, ujarnya, turut meliputi operator udara sama ada milik syarikat Malaysia atau asing untuk pesawat model berkenaan terbang di dalam dan luar ruang udara negara ini.

Tindakan sebelum itu susulan insiden nahas pesawat tersebut mengorbankan semua mangsa melibatkan Lion Air Indonesia pada 2018 dan Ethiopian Airlines Habsyah pada 2019 menyebabkan banyak syarikat di seluruh dunia menggantung operasi penerbangan pesawat berkenaan sementara waktu.

CAAM jelasnya, memantau rapat proses kelulusan dan kerja lanjutan diambil pelbagai pihak terlibat khususnya firma pengeluarnya, Boeing Company berpusat di Amerika Syarikat (AS) termasuk laporan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) yang memperakui ciri-ciri reka bentuknya dan penerimaan komprehensif set kelayakan untuk kembali berkhidmat.

 “Sehubungan itu, semua operator harus mematuhi kelayakan ditetapkan Arahan Keselamatan CAAM 01/2021 sebelum melakukan penerbangan komersial bagi pesawat ini,” tegas Chester dalam kenyataan.

 Agensi di bawah Kementerian Pengangkutan itu juga mahu memastikan segala pesawat awam yang terbang di ruang Malaysia mematuhi semua peraturan, teknikal dan ujian kelayakan.

Malah, katanya, CAAM  terus memantuan situasi dan memastikan pematuhan ketat arahan itu manakala jika ada pelanggaran, operator terbabit boleh dikenakan tindakan serius.

 Sehingga Julai lalu, sejumlah 541 pesawat Boeing 737 MAX yang mampu memuatkan 204 kerusi digunakan pelbagai syarikat penerbangan di seluruh dunia sejak dihasilkan pada 2014.

 Selain AS, banyak negara sudah menarik balik penggantungan operasi model ini, manakala Boeing mula sambung semula tempahan pengeluaran 3,290 buah yang terhenti sebelum itu.

 Malaysia Airlines setakat ini sudah menempah 25 pesawat model itu yang dijangka dapat diterima secara berperingkat mulai 2024 untuk laluan destinasi domestik dan Asia Tenggara. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN