KOTA KINABALU: Mungkinkah musim buaya naik ke darat sudah tiba. Ini berdasarkan beberapa kejadian di beberapa negeri reptilia itu muncul tiba tiba daripada habitatnya mengejutkan orang ramai.
Terbaharu, pengguna jalan raya di Kampung Nagapas, dekat sini dikejutkan dengan kehadiran buaya yang dilihat muncul sejak beberapa hari lalu.
Berdasarkan laporan orang awam, Angkatan Pertahanan Awam (APM) berjaya menangkap buaya seberat 700 kilogram dan sepanjang 16 kaki di kampung berkenaan pada pukul 8.53 malam, semalam.
Kehadiran semula buaya itu dilihat oleh seorang pengguna jalan raya pada 7.30 malam sebelum bertindak menghubungi Pusat Kawalan 999 APM Sabah.
“Pengadu menyatakan buaya tersebut tular dalam media sosial beberapa hari lalu.
“Sepasukan APM Papar terus bergerak ke lokasi untuk menangkap buaya tersebut. APM berjaya menangkap buaya seberat kira-kira 700 kilogram dan sepanjang 16 kaki dengan bantuan orang kampung,” kata APM dalam satu kenyataan.
Turut berada dilokasi adalah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal keberadaan orang awam serta keselamatan lalu lintas.
Buaya tersebut kemudian diserahkan kepada Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) untuk tindakan lanjut.- UTUSAN ONLINE