Bencana alam, jangan sandar sepenuhnya kepada takdir - Utusan Malaysia

Bencana alam, jangan sandar sepenuhnya kepada takdir

NOR AZRINA SURIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bencana alam yang berlaku di negara ini tidak boleh sepenuhnya bersandarkan kepada takdir daripada Tuhan apatah lagi diinterpretasikan sebagai bala.

Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip berkata, semua pihak harus bertanggungjawab dalam usaha mengurus alam semula jadi sebaik mungkin bukan menutupnya dengan persepsi takdir Tuhan itu setiap kali berlaku bencana alam.

“Menteri Tenaga dan Sumber Asli sendiri mengakui bahawa isu pembalakan ini isu yang terlalu lama bahkan berlaku sejak kerajaan terdahulu.  Namun, mengapa acapkali bila berlaku bencana seperti banjir besar atau tanah runtuh akan diinterpretasikan sebagai bala.

“Sampai bila kita terus menuding jari kepada faktor fenomena cuaca apatah lagi menganggapnya sebagai takdir Tuhan seolah-olah menutupi kelemahan kita selaku khalifah Tuhan dalam mengurus muka bumi, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan  baru-baru ini bahawa bencana alam yang berlaku di kawasan Gunung Jerai, Kedah pada bulan lepas merupakan takdir Tuhan atau “act of God”.

Mengulas lanjut kata Nor Azrina, merujuk kepada laporan statistik Global Forest Watch (GFW), Malaysia memiliki 20.3 megahektar  hutan semula jadi pada 2010 namun jumlah itu semakin menyusut hingga pada 2019 dan negara telah kehilangan 193,000 hektar hutan semula jadinya.

“Gunung dan banjaran umpama pasak dan sendi bumi. Hutan berfungsi sebagai kawasan tadahan air hujan. Ia juga bertindak seperti span yang menyerap air melalui jaringan akar yang kuat sebagai pencengkam tanah.

“Jangan sewenang-wenangnya kita sentuh atau  ditarah demi mendapatkan keuntungan segera.

“Penyahutanan mengakibatkan peningkatan halaju air larian yang menyebabkan bencana banjir lebih buruk dan termasuk tanah runtuh,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya