SHAH ALAM: Gangguan bekalan air di semua 463 kawasan terjejas di Lembah Klang pulih sepenuhnya pagi ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, bekalan air bersih diterima sepenuhnya lima wilayah tersebut pada pukul 6 pagi.
“Terima kasih kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.
“Mereka disaran mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com,” katanya kenyataan itu hari ini.
Sebarang pertanyaan dan aduan turut boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.
Kelmarin, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran bau pukul 12 tengah hari.
Keadaan itu mengakibatkan 463 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Ia melibatkan 194 kawasan terjejas di Sepang, Petaling (172), Hulu Langat (54), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).
Namun, LRA itu mula kembali beroperasi selepas bacaan bau tahap 0 Ton direkodkan tiga kali berturut-turut di Sungai Semenyih petang kelmarin.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan pembuangan efluen yang menyebabkan henti tugas itu dipercayai dilakukan ketika paras air Sungai Semenyih tinggi.
Kejadian dikatakan berlaku antara pukul 1 hingga 7 pagi susulan hujan lebat di bahagian hulu sungai itu kelmarin.
Gangguan bekalan air di semua kawasan terjejas sepatutnya dijangka pulih sepenuhnya esok. -UTUSAN ONLINE