PETALING JAYA: Belanjawan 2026 dijangka akan memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan pembeli rumah pertama menerusi pemberian insentif, kata MBSB Investment Bank.
Bank pelaburan berkata, insentif seperti pengecualian duti setem dan pelaksanaan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bakal diperkenalkan bagi menyokong golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah pertama.
Katanya, model pasaran perumahan baharu selaras dengan reformasi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) juga mungkin diperkenalkan, termasuk konsep bina dan jual serta penambahbaikan kepada skim sewa untuk milik.
“Dalam konteks ini, pemaju yang mempunyai pendedahan tinggi kepada segmen perumahan mampu milik seperti Mah Sing Group Bhd. dan Matrix Concepts Holdings Bhd. sepatutnya mendapat manfaat
“Model bina dan jual bertujuan mengurangkan risiko kepada pembeli dan menurunkan jumlah projek terbengkalai.
“Namun, pendekatan ini mungkin memberikan cabaran kewangan kepada pemaju yang mempunyai aliran tunai terhad atau nisbah hutang tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, MBSB Investment Bank berkata, model ini mewajibkan pemaju menanggung kos pembinaan sepenuhnya di peringkat awal, yang boleh meningkatkan kos dan secara tidak langsung menjejaskan penawaran rumah baharu di pasaran.
Menurutnya, laporan menunjukkan jualan hartanah baharu bagi separuh pertama tahun 2025 adalah selari dengan jangkaan dengan kebanyakan pemaju mengekalkan sasaran jualan mereka dan menjangkakan momentum lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini, susulan lebih banyak pelancaran projek baharu.
Berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), lebihan bekalan kediaman meningkat untuk suku ketiga berturut-turut kepada 26,911 unit pada suku kedua 2025, paras tertinggi sejak 2023, didorong oleh lonjakan sebanyak 1,990 unit di Kelantan.
Bank pelaburan berkata, pilihan utamanya bagi sektor hartanah adalah Mah Sing Group, Matrix Concepts dan UOA Development Bhd dengan saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) masing-masing sebanyak RM1.51, RM1.65 dan RM2.04.
Sementara itu, TA Research melihat Belanjawan 2026 sebagai pemangkin utama untuk menaikkan sentimen sektor hartanah, memandangkan ia adalah yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan yang keempat di bawah Rangka Kerja Madani.
“Keutamaan dasar dijangka memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik, sokongan pembiayaan untuk pembeli kali pertama, pembaharuan bandar dan pertumbuhan yang diterajui infrastruktur.
“Dalam konteks ini, pemaju yang bermodal baik dengan tawaran pasaran besar-besaran yang kukuh, bank tanah pembangunan berorientasikan transit (TOD) strategik dan pendedahan kepada pertumbuhan perindustrian Johor menonjol sebagai penerima utama langkah sokongan,” ujarnya.
Firma penyelidikan berkata, RMK13 komited untuk menyediakan satu juta rumah mampu milik antara 2026 dan 2035 dan pihaknya menjangkakan Belanjawan 2026 memperuntukkan pembiayaan benih dan sokongan institusi untuk agensi perumahan negara yang baru ditubuhkan.
“Agensi itu akan memusatkan tanggungjawab merentasi pelbagai badan, menyelaras perancangan dan penyampaian, menyelaraskan kelulusan, menyelaraskan usaha persekutuan dan negeri serta meningkatkan ketelusan dalam peruntukan perumahan,” ujarnya.
Sementara itu, TA Research berkata, model bina-kemudian-jual yang digariskan di bawah RMK13 juga dijangka dijelaskan dalam Belanjawan 2026.
“Di bawah rangka kerja ini, pembeli rumah membayar 10 peratus apabila menandatangani perjanjian jual beli, dengan baki 90 peratus hanya perlu dibayar selepas unit siap dan diserahkan.
“Walaupun dasar itu bertujuan untuk mengukuhkan perlindungan pengguna dan mengurangkan risiko projek terbengkalai, ia menimbulkan cabaran pembiayaan dan kecairan bagi pemaju, terutamanya mereka yang tidak mempunyai asas pendapatan berulang yang besar,” jelasnya. – UTUSAN










