PETALING JAYA: Bekalan air terawat mula disalurkan secara berperingkat pada pukul 5.30 petang tadi kepada para pengguna di kesemua kawasan yang terjejas dengan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg. Semenyih) berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, ketika ini, Air Selangor sedang berusaha menstabilkan sistem agihan bekalan air di kesemua kawasan terjejas.
“Bekalan air di semua 463 kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 6 pagi, 6 September 2021. Para pengguna juga boleh mendapatkan
senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.
“Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian. Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” kata kenyataan itu.
Menurut Air Selangor, sebanyak 94 lori tangki air digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dan premis-premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual itu.
Syarikat berkenaan memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.
“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” katanya.
Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – UTUSAN ONLINE