LIPIS: Seramai 428 orang usahawan di negeri ini menerima moratorium pembiayaan perniagaan daripada Majis Amanah Rakyat (Mara) melibatkan kewangan berjumlah RM1.66 juta secara keseluruhan di bawah Program Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa), tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Mara turut menyediakan insentif pengecualian sewa serta diskaun sewa sebanyak 30 peratus kepada penyewa premis membabitkan kewangan berjumlah RM733,000.
“Insentif yang dilaksanakan oleh Mara ini adalah sebahagian daripada siri bantuan yang dilaksanakan sebelum ini oleh kerajaan melalui Pakej Pemerkasa dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bertujuan membantu usahawan bumiputera yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Selain penyampaian bantuan berkenaan, saya berpeluang bersemuka dengan usahawan Bumiputera berkenaan secara langsung memperoleh maklumat tentang keberkesanan skim bantuan anjuran Mara semasa pandemik tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Mara Lipis, Kuala Lipis di sini.
Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan Skim Pembiayaan Prihatin Mikro (S3P) dan Skim Pembiayaan Khas Wanita (DanaNITA) kepada enam orang usahawan Bumiputera Lipis ketika melawat ke setiap buah premis berkenaan. – UTUSAN ONLINE