Azizulhasni belum mahu jadi pensyarah - Utusan Malaysia

Azizulhasni belum mahu jadi pensyarah

AZIZULHASNI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahu menumpukan perhatian ke Sukan Olimpik 2024 Paris membuatkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang belum memutuskan untuk menerima tawaran daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Jelasnya, beliau sudahpun memaklumkan kepada pihak UPSI berhubung perkara tersebut selepas mendapat tawaran Biasiswa Bitara Pasca Siswazah untuk melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah serta jawatan sebagai pensyarah daripada universiti terbabit.

“Saya telah memaklumkan kepada pihak UPSI yang buat masa ini saya tidak akan membuat mana-mana pilihan konkrit ke atas tawaran-tawaran yang diterima kerana fokus saya adalah untuk memberikan tumpuan penuh kepada Olimpik 2024 terlebih dahulu,” katanya menerusi Facebook, semalam.

UPSI kelmarin menyerahkan surat tawaran biasiswa dan jawatan pensyarah kepada Azizulhasni atau terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman sebagai penghargaan atas pencapaian cemerlang Azizulhasni di peringkat antarabangsa.

Pada majlis ringkas yang diadakan di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City itu, Azizulhasni ditawarkan Biasiswa Bitara Pasca Siswazah peringkat Sarjana selama dua tahun bernilai RM42,225 atau Doktor Falsafah (3 tahun) bernilai RM103,700.

Begitupun, pemenang pingat perak di Olimpik Tokyo itu mengakui tawaran tersebut membolehkannya memiliki hala tuju apabila bersara dalam arena sukan kelak.

“Tawaran seperti ini adalah satu langkah dinamik oleh pihak UPSI yang mana apabila saya menggantungkan basikal nanti, saya tahu sudah ada satu peluang baharu di situ.

“Saya juga berharap penganugerahan seperti ini akan menjadi motivasi kepada rakan-rakan atlet di luar sana untuk bekerja lebih keras bagi mencapai kejayaan di peringkat tertinggi,” kata juara dunia keirin 2017 itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.