Awas muka, tingkah laku anda dirakam di Putrajaya

Awas muka, tingkah laku anda dirakam di Putrajaya

KEADAAN petugas di Putrajaya Command Center yang dibangunkan Perbadanan Putrajaya bagi memantau keselamatan penduduk. – FOTO/IHSAN PERBADANAN PUTRAJAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suasananya begitu canggih dengan puluhan skrin selain paparan visual dan maklumat secara digital seumpama gambaran babak dalam drama atau filem aksi Hollywood.

Bagaimanapun, pemandangan futuristik itu sebenarnya panorama bilik kawalan Putrajaya Command Centre (PCC) yang dibangunkan Perbadanan Putrajaya (PPj) sejak 2004 lagi.

Dilengkapi bilik koordinasi yang lengkap dengan sistem paparan masa sebenar berdefinisi tinggi (HD) serta pelbagai peralatan komunikasi berkualiti, pusat itu juga beroperasi 24 jam.

Menurut PPj menerusi hantarannya dalam akaun sosial rasmi agensi itu semalam, PCC ialah salah satu inisiatif pelan cetak biru Bandar Pintar Putrajaya bagi tempoh 2018 hingga 2025.

“Ia berfungsi untuk tugas pemantauan keselamatan dan segala aktiviti perbandaran melalui pemerhatian secara berpusat dengan tahap penggunaan teknologi yang amat terkini,” katanya.

Selain itu ujarnya, PCC turut memantau insiden yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar di Putrajaya termasuk kes perlakuan vandalisme ke atas fasiliti prasarana kemudahan awam.

Malah kata PPj, pusat ini juga memantau tingkah laku orang awam yang sengaja membuang sampah di tempat tidak sepatutnya selain pematuhan prosedur operasi standard Covid-19.

Antara teknologi canggih digunakan ialah Analitik Video Pintar yang mampu mengesan corak kelakuan individu mencurigakan sebelum suspek cuba bertindak membuat jenayah tertentu.

“Aplikasi ini akan menanda pergerakan muka individu tersebut dengan bulatan warna merah sebelum data dimasuk ke dalam sistem sebagai amaran awal kepada petugas PCC,” katanya.

Sejumlah 462 unit kamera litar tertutup (CCTV) juga mampu menjejak pencerobohan ke zon larangan atau kawasan sensitif, objek curiga yang ditinggalkan serta perhimpunan orang ramai.

CCTV itu turut dilengkapi alat penderia berasaskan platform Internet Benda (IoT) untuk mengesan pencemaran alam sekitar dan kerosakan fasiliti sama ada sengaja atau berlaku semula jadi.

Ia mampu menjejak mutu air tasik, paras air, kadar hujan, suhu, had laju angin dan jika berlaku tumpahan benda asing, sensor itu menghantar isyarat ke PCC untuk tindakan selanjutnya.

Kamera pintar di CCTV itu boleh berpusing 360 darjah untuk melihat aliran trafik kenderaan, atau kes pandu lawan arah, cuba parkir di tempat yang dilarang dan kemalangan jalan raya.

Sejumlah 89 tiang butang panik juga dipasang dengan siren berwarna merah akan menyala serta berbunyi kuat apabila ditekan selain ada kamera HD bagi merakam wajah si pengadu.

PCC turut berkongsi data bersama dengan pelbagai agensi awam domestik antaranya polis, bomba, Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Segala kemudahan itu sejajar inisiatif Bandar Selamat Putrajaya yang diwujudkan lebih dua dekad lalu demi memastikan kehidupan lestari penduduk sentiasa dipelihara dan dilindungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya