Atlet Perak diberi kelebihan isi jawatan dalam pentadbiran - Utusan Malaysia

Atlet Perak diberi kelebihan isi jawatan dalam pentadbiran

KHAIRUL Shahril Mohamed  berucap pada majlis NOU antara USAS dan MSN Perak secara maya hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Kerajaan negeri memberi kelebihan kepada atlet negeri ini mengisi kekosongan jawatan dalam pentadbiran negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, perkara tersebut dipersetujui dalam mesyuarat kerajaan negeri.

Beliau berkata, bagaimanapun kekosongan jawatan yang diisi oleh atlet perlulah mempunyai kelayakan dari segi pendidikan.

“Kelayakan mestilah diambil kira, mungkin kita uruskan seminimum yang boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NOU) antara Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, secara maya hari ini.

Khairul Shahril berkata, kelayakan para atlet untuk mengisi jawatan akan diteliti agar tidak mengganggu sebarang proses semasa mereka menjawat jawatan diberikan.

Beliau turut mencadangkan agar USAS mempertimbang serta menilai potensi untuk membuka program pengajian baharu dalam bidang Sains Sukan dan Pengurusan Sukan.

“Saya mohon jasa baik agar pihak USAS dapat dapat mewujudkan satu task force untuk memperhalusi cadangan kursus ini sebagai satu lagi ruang dan peluang untuk atlet Perak.

“Ia adalah untuk membolehkan atlet-atlet yang berada di Perak menyambung pengajian dalam kursus tersebut memandangkan di negeri ini hanya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sahaja menawarkan program tersebut,” katanya.

Januari lalu, Khairul Shahril berkata, kerajaan negeri berhasrat memberi keutamaan kepada para atlet mengisi kekosongan jawatan dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

Katanya, langkah itu dilihat penting bagi memastikan kebajikan atlet di negeri ini terjaga selain mengelakkan mereka berpotensi ini di ambil berkhidmat di negeri lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN