PUTRAJAYA: Aspek pengudaraan di semua jenis bangunan seperti tempat kerja, premis perniagaan, institusi pengajian, rumah ibadah, termasuk juga kediaman perlu dilihat secara serius dengan penambahbaikan dalam usaha membendung penularan Covid-19.
Gesaan itu dibuat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang mahu aspek pengudaraan ditingkatkan sejajar dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN), susulan kerajaan melaksanakan inisiatif pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dari semasa ke semasa mengikut fasa yang ditetapkan.
Katanya, aspek pengudaraan di semua jenis bangunan merupakan antara perkara penting yang perlu dilihat sebagai salah satu strategi bagi mencapai hasrat kerajaan ini.
“Secara umumnya, terdapat tiga jenis pengudaraan iaitu pengudaraan secara semula jadi, sistem penyaman udara tanpa pengudaraan mekanikal (sistem penyaman udara tidak berpusat) dan sistem penyaman udara dengan pengudaraan mekanikal (sistem penyaman udara berpusat).
“Bagi pengudaraan secara semula jadi, bangunan yang mempunyai sistem itu mempunyai risiko yang rendah dalam penularan penyakit Covid-19 dan lain-lain penyakit bawaan udara kerana ketumpatan virus yang berlegar di dalam udara membolehkan kesan jangkitan dapat dikurangkan melalui udara secara dilution,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, bagi sistem penyaman udara tanpa pengudaraan mekanikal (sistem penyaman udara tidak berpusat), sesebuah premis disarankan meningkatkan pengudaraan dalaman dengan membuka tingkap untuk membolehkan pertukaran udara bersih dengan lebih kerap ke dalam bangunan atau premis.
Katanya, tingkap dibuka kecil sekiranya penghawa dingin digunakan, pasang kipas tingkatkan pergerakan udara, pasang kipas ekzos untuk pertukaran udara dan menetapkan suhu antara 23°C hingga 26°C.
“Selain itu, premis yang menggunakan sistem penyaman udara dengan pengudaraan mekanikal (sistem penyaman udara berpusat) perlu memastikan semua komponen dan kawalan sistem penyaman udara berpusat diselenggara dan berfungsi mengikut reka bentuknya serta Seals penapis udara dalam keadaan terbaik
“Ia juga perlu meningkatkan pengudaraan udara bersih dari luar melalui bukaan outdoor air damper. Disable Demand Control Ventilation (DSV) di dalam sistem MVAC sekiranya ada dan digalakkan sistem MVAC beroperasi dengan pengambilan udara luar yang maksimum selama dua jam sebelum dan selepas dihuni untuk mengeluarkan udara sedia ada (air flushing) di dalam premis,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua premis ddisarankan untuk menaiktaraf penggunaan penapis udara di Unit Pengendali Udara (Air Handling Unit) sedia ada kepada sekurang-kurangnya MERV-14 manakala penggunaan alat pembersih udara dengan teknologi penapis udara jenis HEPA sebagai langkah tambahan di dalam sistem MVAC tersebut.
“Malah sebarang pengubahsuaian dan pembaikan sistem MVAC sedia ada hendaklah mengambil kira keupayaan sistem sedia ada dan perlu dirujuk kepada MVAC profesional yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN