SEREMBAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) telah mengenal pasti sebanyak 6,000 buah masjid dan 17,000 buah surau dalam usaha membantu menubuhkan koperasi kariah di negara ini.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya kini giat memperkenalkan model koperasi kariah masjid bagi meningkatkan pembangunan ekonomi dalam kalangan penduduk setempat.
Katanya, koperasi itu dicadangkan supaya lebih banyak aktiviti dan perniagaan dapat dijalankan melalui penyatuan modal, idea, teknologi dan inovasi bagi memperkasa kekuatan ekonomi umat Islam.
“Mengikut statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sehingga Disember 2020, terdapat sebanyak 454 buah koperasi kariah masjid di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 36,332 individu.
“Syer atau yuran pula adalah sebanyak RM10.8 juta, aset sebanyak RM28.25 juta dan perolehan sebanyak RM15.4 juta,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada anggota kariah Masjid Kampung Kampung Sungai Jai di Lenggeng, di sini hari ini.
Tambah beliau, antara bidang keberhasilan koperasi kariah masjid di negara ini termasuklah dalam bidang pembangunan komuniti, pemborongan dan peruncitan, telekomunikasi, pendidikan, kewangan, kesihatan, pelancongan dan perladangan serta pertanian.
“Sebahagian manfaat terus yang akan didapati melalui penubuhan koperasi kariah masjid adalah penawaran peluang pekerjaan bagi menguruskan aktiviti yang dijalankan oleh koperasi dan masjid.
“Peluang pekerjaan ini boleh didahulukan kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan mereka yang kurang bernasib baik bagi memperbaiki taraf dan kualiti hidup golongan berkenaan,” tambahnya.
Sementara dalam majlis tersebut, sebanyak 50 pek barangan asas dengan jumlah keseluruhan bernilai RM3,500 diserahkan melalui Projek Barang Asas 100 (BA100) bagi membantu inisiatif warga kariah mewujudkan ‘Gerobok Makanan’ bagi golongan yang terkesan berikutan pandemik Covid-19. – UTUSAN










