PETALING JAYA: Ketua ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) digelar ‘Sittah Annur’ yang ditahan polis direman empat hari, bermula hari ini hingga Selasa ini.
Permohonan tahanan reman terhadap wanita berasal dari Kelantan itu dibenarkan Majistret Kuala Lumpur.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Basri Sagoni berkata, polis menjalankan tangkapan ke atas suspek berusia 39 tahun itu pada pukul 1.10 pagi tadi.
“Suspek sebelum ini ada membuat laporan polis menafi dan menyatakan tidak pernah mewujudkan kumpulan ajaran sesat atau apa-apa kumpulan serta ajaran bertentangan dengan ajaran Islam.
“Malah, suspek turut menafikan semua tuduhan termasuk tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Basri, polis merampas lima unit telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad bank, resit pemindahan wang ke akaun bank tempatan berjumlah RM84,721.42 dan sepasang telekung warna putih dipercayai digunakan suspek semasa membuat siaran langsung Facebook.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan wanita yang merupakan peniaga itu ditahan polis pagi tadi di rumahnya di Shah Alam, Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan turut mengesahkan tangkapan itu. – UTUSAN ONLINE