Air Sungai Titi Hayun melimpah lagi - Utusan Malaysia

Air Sungai Titi Hayun melimpah lagi

KEADAAN jalan di Titi Hayun yang dinaiki air selepas paras air di  Sungai Titi Hayun, Yan meningkat dan melimpah selepas hujan lebat hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Penduduk di beberapa kampung terkejut dan cemas apabila air Sungai Titi Hayun di Gunung Jerai di sini, mengalir deras dan melimpah di atas jalan raya selepas hujan lebat hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, paras air di sungai tersebut meningkat selepas hujan lebat sehingga menimbulkan cemas dalam kalangan penduduk yang masih trauma dengan tragedi kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.

Seorang penduduk, Rafi Rosli, 31, berkata, air yang meningkat di sungai tersebut tidak sempat mengalir ke kampung berdekatan selepas air tersebut memasuki sebuah longkang sejauh 500 meter.

Menurutnya, peningkatan paras air sungai tersebut adalah kali pertama berlaku selepas tragedi kepala air di kawasan itu sebelum ini.

“Kejadian berlaku hanya setengah jam dan paras air melimpah mencecah 0.2 meter di atas jalan raya berdekatan dan tidak menjejaskan penduduk,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu, seramai enam penduduk tempatan terkorban dihanyutkan arus deras dan dihempap tanah runtuh.

Selain itu, sebanyak 1,732 rumah kediaman, 124 premis dan 14 pengusaha chalet pelancongan desa turut terkesan dalam fenomena itu.

Seorang penduduk Kampung Setol, Abdul Hamid Nayan, 60, pula berkata, dia lega apabila tidak berlaku banjir yang serius selepas hujan lebat hari ini.

Menurutnya, penduduk di sini yang masih terjejas dengan tragedi kepala air sentiasa berada dalam ketakutan setiap kali hujan lebat.

“Kebanyakan penduduk tidak sanggup lagi berhadapan dengan tragedi ngeri itu,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Nazri Md. Zain, 60, berkata, dia yang mendengar cerita berkenaan paras air sungai Titi Hayun berharap tiada situasi buruk bakal berlaku lagi selepas ini.

“Keadaan rumah saya yang berdekatan dengan sungai lagi takut apabila mendapat tahu paras air Sungai Titi Hayun meningkat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya