90 peratus kadar vaksin dewasa syarat pembukaan pusat pelancongan, aktiviti rentas negeri - Utusan Malaysia

90 peratus kadar vaksin dewasa syarat pembukaan pusat pelancongan, aktiviti rentas negeri

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu adalah ketetapan lain seperti diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini.

Katanya, kerajaan bersetuju bahawa kedai runcit, mini market, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 malam berkuatkuasa 23 September ini.

“Operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness), dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober.

“Pusat, premis, produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuatkuasa 1 Oktober dengan semua pengusaha, operator dan pelawat atau pengunjung lengkap divaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan juga memutuskan kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.

Selain itu, kata Perdana Menteri, warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara, manakala bagi warga negara adalah percuma.

“Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

“Patuhilah setiap prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” ujar Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya