7 November keputusan bekas Exco Johor perlu bela diri atau tidak

7 November keputusan bekas Exco Johor perlu bela diri atau tidak

ABDUL Latif Bandi ketika hadir ke Mahkamah Tinggi bagi mendengar rayuan SPRM terhadap kes pertuduhan rasuah dihadapinya pada 2017 di Johor Bahru, Johor. - FOTO/KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh 7 November ini bagi membuat keputusan sama ada bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi perlu membela diri atau bebas daripada 37 pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan tersebut hari ini selepas selesai mendengar hujahan barisan pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding rayuan kes yang berlangsung selama dua hari.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 21 April 2019 yang membebas dan melepaskan Abdul Latif dan dua lagi tertuduh termasuk anak lelakinya.

Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam hujahannya berkata, Mahkamah Sesyen sebelum ini telah terkhilaf dalam keputusannya.

Menurut beliau, dalam kes tersebut pihak pembelaan iaitu Abdul Latif telah mengakui beliau menerima kesemua wang bernilai RM16 juta tersebut.

“Cuma beliau mengatakan ia adalah pinjaman daripada Amir (Perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub) yang mana pihak pendakwaan berhujah pinjaman tersebut asal-usulnya daripada pemaju-pemaju perumahan yang ingin mendapat pelepasan Bumiputera, yang mana Abdul Latif ada peranannya dalam membuat pelepasan itu.

“Jika diambil kira hal keadaan kes ini, Abdul Latif bersubahat dengan responden pertama (Amir) dan kami tidak perlu membuktikan responden kedua (Abdul Latif) ada menerima duit, apa yang perlu kami buktikan adanya pakatan jenayah antara Amir dan ada pertolongan daripada Abdul Latif untuk Amir melakukan kesalahan tersebut.

“Hakim bicara telah terkhilaf dalam pemahaman undang-undang yang ada dan telah tidak mempertimbangkan keterangan-keterangan yang penting dalam alasan penghakimannya,” katanya.

Pada 21 April 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan Abdul Latif daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) melibatkan jumlah lebih RM30 juta.

Selain itu, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dikenakan terhadap mereka.

Pada 14 Jun 2017, Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing dihadapkan dengan empat pertuduhan melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.

Sebelum itu, Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1)(C) Akta SPRM 2009.

Selain Wan Shaharuddin, barisan pendakwaan turut disertai Ahmad Akram Gharib; Mahadi Abdul Jumaat; Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander Lim Wai Keong. Manakala tertuduh dibarisi peguam, Datuk Salehuddin Saidin dan Datuk Hasnal Redzua Merican. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya