KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan menaikkan peruntukan pembangunan berjumlah RM8 bilion kepada Kelantan pada tahun ini berbanding RM3.19 bilion, tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan peruntukan menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan negeri pembangkang itu.
“Kalau ada lagi satu, dua orang pimpinan pembangkang dan kerajaan negeri yang berani sebut kita pinggirkan dan tidak beri peruntukan kepada kerajaan negeri, kita minta dia buka buku dan belajar sedikit,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026, di sini hari ini.
Anwar berkata, peruntukan tersebut semakin bertambah sejak Kerajaan Madani memerintah negara pada 2022.
Katanya, hari ini beliau turut umumkan peruntukan RM20 juta bagi membasmi kemiskinan di Kelantan.
“Apa saya tanya dia ni parti mana? Tidak. Siapa yang uruskan? Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM). Aspek kemiskinan itu bukan sahaja masalah Kelantan, sebaliknya ia adalah masalah negara.
“Ini saya bicara mengenai pengurusan kerajaan dan tatakelola. Oleh itu, saya mula urus dengan baik. Apabila negara diurus dengan baik, kita boleh selesaikan masalah rakyat,” katanya.
Peruntukan pembangunan disalurkan Kerajaan Pusat untuk Kelantan sebanyak RM3.19 bilion tahun lalu menyaksikan peningkatan berganda berbanding 2022 sebanyak RM1.55 bilion.
Anwar berkata, peningkatan berganda itu sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan. – UTUSAN










