SHAH ALAM: Penyanyi, Tuah Adzmi mengakui dirinya berdepan debaran luar biasa apabila diberi amanah menggantikan penyanyi popular, Khai Bahar, untuk membawakan lagu Kerana Ego pada pentas Separuh Akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40 SA).
Menurut Tuah, 28, tawaran tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk diterima memandangkan lagu berkenaan cukup sinonim dengan Khai selain mempunyai kelompok peminat yang besar.
Katanya, dia sendiri menggigil sebaik menerima mesej memaklumkan mengenai tawaran itu dan mengambil masa untuk mempertimbangkan keputusan sebelum bersetuju memikul tanggungjawab tersebut.
“Apabila saya dimaklumkan untuk menggantikan Khai, memang satu badan terus menggigil. Saya ambil masa untuk berfikir sama ada patut atau tidak menerima tawaran itu kerana ini bukan perkara kecil.
“Saya diberi tempoh 24 jam untuk membuat keputusan. Memang rasa takut dan gementar, namun selepas meminta pandangan orang sekeliling, mereka semua memberi sokongan untuk saya mencuba. Jadi akhirnya saya setuju,” katanya.
Tuah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media hari pertama AJL40 SA yang berlangsung di Studio TV3, Glenmarie, Shah Alam, semalam.
Mengulas lanjut, Tuah berkata cabaran terbesar adalah untuk menyesuaikan diri dengan lagu tersebut memandangkan ia bukan genre yang sering dibawakannya sebelum ini.
Katanya, dalam tempoh dua minggu, dia memberi sepenuh fokus untuk memahami serta mendalami lagu itu agar dapat disampaikan dengan sebaik mungkin.
“Tekanan itu memang sangat terasa kerana lagu ini bukan genre yang biasa saya bawakan. Jadi saya benar-benar fokus untuk memahami dan mendalami lagu itu.
“Saya cuba memberikan jiwa saya sendiri dalam persembahan walaupun sedar lagu ini sangat sinonim dengan Khai.
“Khai memang dikenali dengan vokal yang sangat kuat dan peminatnya juga ramai. Jadi sudah tentu saya risau jika tidak dapat memenuhi jangkaan mereka atau mengecewakan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Tuah memilih untuk melihat peluang tersebut sebagai ruang untuk mencabar diri dan menimba pengalaman baharu dalam industri muzik.
Dalam masa sama, dia berkata sudah memberikan yang terbaik sepanjang persembahan dan bersedia menerima sebarang pandangan termasuk kritikan daripada penonton.
“Saya sudah buat sehabis baik dan semampu mungkin. Saya harap penonton termasuk peminat Khai dapat menerima persembahan saya dengan hati terbuka.
“Kalau ada yang membandingkan, saya terima sahaja kerana memang jelas suara saya dan Khai sangat berbeza.
“Dia sudah berpengalaman luas di pentas AJL, manakala saya ini baru pertama kali. Saya masih belajar dan akan terus memperbaiki diri jika ada kekurangan,” katanya.









