62 orang termasuk 18 penjawat awam ditahan berhibur - Utusan Malaysia

62 orang termasuk 18 penjawat awam ditahan berhibur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan 62 individu termasuk 18 penjawat awam yang leka berhibur di sebuah pusat hiburan di Puchong, di sini awal pagi tadi. 

Kesemua mereka berusia 17 tahun hingga 52 tahun itu ditahan dalam serbuan Operasi Hiburan (Op Hiburan) kira-kira pukul 1.40 pagi. 

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A Anbalagan berkata, hasil pemeriksaan dilakukan di dalam pusat hiburan tersebut mendapati premis itu dalam keadaan gelap serta lampu berkelip-kelip selain kedengaran muzik dimainkan dengan kuat.

Malah, katanya, ada antara pelanggan pusat hiburan itu didapati sedang leka minum minuman keras.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 62 individu berada di dalam premis itu melibatkan lapan individu termasuk tiga wanita yang bekerja sebagai pengurus serta pelayan selain 28 pelanggan lelaki dan 26 pelanggan wanita.

“Daripada jumlah itu, seramai 18 penjawat awam dikenal pasti berada di dalam premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Anbalagan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing  mendapati seorang lelaki positif dadah jenis methamphetamine.

Ujar beliau, pihaknya turut mengeluarkan 62 kompaun dalam operasi berkenaan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1955, Peraturan 16 Peraturan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1996 dan Seksyen 76 AKta Eksais 1976,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN