Seramai 52 geng sindiket ah long ditahan dalam Op Vulture

52 ahli sindiket ah long ditahan

MOHD. KAMARUDDIN MD. DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 52 individu terlibat dengan tiga sindiket pinjaman tidak wujud atau ah long dalam beberapa serbuan Op Vulture di seluruh negara.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 46 lelaki dan enam wanita berusia antara 15 hingga 58 tahun di Johor, Pahang dan Terengganu. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamaruddin Md. Din berkata, kesemua individu terbabit merupakan ahli sindiket Jimmy, Ah Han dan Ah Sing. 

Katanya, sindiket ini dikesan aktif menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menyasarkan penjawat awam, pekerja swasta dan peniaga sebagai mangsa.

“Modus operandi sindiket dengan mengiklankan tawaran pinjaman di aplikasi media sosial seperti ‘Facebook’, ‘WeChat dan ‘WhatsApp’ serta kadar faedah pinjaman yang diberikan adalah 10 hingga 20 peratus bagi tempoh seminggu.

“Apabila peminjam gagal menjelaskan balik pinjaman, mangsa akan dihubungi oleh ahli sindiket melalui telefon dengan memberikan tekanan berbentuk ugutan dan ancaman seperti mengunjungi kediaman serta tempat kerja malah melakukan perbuatan khianat,” katanya dalam sidang akhbar melalui aplikasi Zoom, di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Mohd. Kamaruddin berkata, sindiket juga akan berpakat untuk menghubungi peminjam yang gagal melunaskan bayaran dengan menawarkan pinjaman lain bagi menyelesaikan bayaran pinjaman terdahulu. 

Jelasnya, ini bagi membolehkan ahli sindiket meneruskan kontak dengan peminjam untuk memaksa peminjam membuat bayaran berlipat kali ganda menerusi faedah yang dikenakan secara berterusan.

“Pemeriksaan mendapati ada antara sindiket telah ditahan sebelum ini namun kembali bergiat aktif menjalankan kegiatan itu. 

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas 24 buah kenderaan, 142 buah telefon bimbit, 178 keping kad pelbagai bank, dua keping kad kredit,  25 buah buku nota mengandungi maklumat peminjam, wang tunai RM341,323 dan pelbagai barangan digunakan untuk kegiatan tersebut,” ujarnya. 

Mohd. Kamaruddin berkata, kes disiasat Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2001) serta Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 683 kes telah disiasat melibatkan jumlah pinjaman RM 2.9 juta manakala seramai 801 orang ‘Ah Long’ berjaya ditahan sepanjang tempoh tersebut. 

“JSJK sentiasa membuat pemantauan dan risikan secara berterusan bagi mengesan serta mengenalpasti sindiket Ah Long yang bergerak aktif di seluruh tanah air,” ujar beliau.

Orang ramai diminta untuk terus membantu pihak polis dengan memainkan peranan sebagai mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat aktiviti jenayah komersil kepada pihak PDRM melalui saluran ‘CCID Scam Response Center’ di talian 03-26101559 / 03-26101599 atau melalui aplikasi ‘WhatsApp CCID Infoline’ di talian 013-2111222 atau menghubungi mana-mana balai berdekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya