4,422 murid kematian ibu bapa akibat Covid-19 dibantu

4,422 murid kematian ibu bapa akibat Covid-19 dibantu

SITI ZAILAH MOHD. YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat amat prihatin terhadap kebajikan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa disebabkan oleh wabak Covid-19.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff, berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan, sejumlah 4,422 murid kematian waris akibat pandemik tersebut setakat Isnin lalu.

Data berkenaan meliputi sama ada mereka yang kehilangan ibu dan bapa, selain ibu atau bapa sahaja atau yang murid telah sedia anak yatim sebelum kematian penjaga mereka pula.

“Justeru pihak kementerian menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil inisiatif bagi memberi sokongan kepada kanak-kanak terbabit,” katanya menerusi kenyataan.

Antaranya ialah melalui Tabung Bantuan Segera dan Bantuan Kanak-Kanak yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 pada akhir tahun lalu untuk menampung keperluan hidup mereka.

Bagi yang berumur bawah tujuh tahun katanya, kanak-kanak itu layak menerima RM200 seorang, manakala berusia tujuh tahun ke atas pula akan memperoleh sebanyak RM150 seorang.

Bahkan buat julung kalinya ujar beliau, kadar maksimum bantuan untuk kanak-kanak tersebut juga telah pun dinaikkan daripada hanya RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga.

Perkhidmatan kaunseling juga disediakan kepada kanak-kanak yang menghadapi tekanan emosi akibat kehilangan ibu bapa serta bantuan khas ini meliputi anggota keluarga mereka.

“Kanak-kanak itu boleh ditempatkan di mana-mana tujuh institusi JKM jika langsung tiada waris atau saudara mara yang boleh menjaga di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” jelasnya.

Siti Zailah menambah, mereka juga boleh diletakkan kepada keluarga ganti atau individu layak atau institusi yang selamat dengan perintah sementara dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

Pihak kementerian ujarnya, turut menjalankan kerjasama dengan komuniti setempat seperti ketua kampung, badan sukarela dan 140 pasukan perlindungan kanak-kanak seluruh negara.

Mereka akan memberi bantuan sokongan secara berterusan kepada kanak-kanak dan ahli keluarga terbabit agar dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam masyarakat berkenaan.

Tidak ketinggalan ialah Bantuan Anak Pelihara sebanyak RM250 sebulan dengan maksimum adalah RM500 sebulan bagi sekeluarga yang memelihara dua orang kanak-kanak atau lebih.

Ini katanya, meliputi anak yatim piatu bawah usia 18 tahun tinggal bersama keluarga pelihara yang bukan menerusi Akta Pengangkatan 1952 atau Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952.

“Kanak-kanak ini diambil daripada Program Anak Pelihara yang dikendalikan JKM atau di bawah perintah Mahkamah Kanak-Kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001,” tegas Siti Zailah.

Beliau berharap tugas dan tanggungjawab tersebut bukan hanya terletak kepada JKM sahaja, sebaliknya penglibatan dari pelbagai pihak termasuk komuniti setempat juga amat penting.

Langkah itu yang turut membabitkan bantuan am oleh kerajaan negeri, mampu memberi galakan sokongan kepada kanak-kanak dan penjaganya itu untuk meneruskan kehidupan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya