fbpx

300 pengusaha Taman Negara Kuala Tahan masih tunggu gelembung pelancongan

ABDUL JALIL Abd. Rahman di hadapan pusat inap Delimah Guesthouse milik pengusaha tempatan yang masih belum ditempah dan disinggahi pengunjung sejak tahun lalu di Kampung Kuala Tahan, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penggiat dan pengusaha pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan, di sini  masih menanti ‘gelembung pelancongan’ di lokasi itu bagi menarik pengunjung ke pusat peranginan hutan tropika tersebut sekali gus dapat memulihkan pendapatan sebelum musim tengkujuh bermula pada penghujung tahun ini.

Rata-rata mereka berharap Kerajaan Persekutuan membuka semula Taman Negara khususnya bagi kemudahan melawat dan berekreasi di kawasan hutan tropika yang berusia lebih 130 tahun itu seperti sebelum ini antara daya tarikan pelawat domestik dan pelancong antarabangsa.

Tinjauan Utusan Malaysia, sehingga kini cuma dua peratus sahaja pelawat domestik yang lengkap suntikan vaksin datang berehat setiap hujung minggu dan menginap di pusat inap milik pengusaha tempatan di Kampung Kuala Tahan dengan hanya menyertai aktiviti di kawasan Sungai Tembeling dan kampung tradisional Melayu di situ.

Kira-kira 300 orang penggiat dan pengusaha yang sudah menerima suntikan vaksin yang lengkap ‘mengeluh’ apabila kerajaan masih menangguhkan gelembung pelancongan di kawasan itu sedangkan Pulau Langkawi sudah dibenarkan kemasukan pengunjung bermula 16 September lalu.

 

 

 

 

 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd. Rahman berkata, penggiat dan pengusaha pelancongan di situ menyandarkan harapan penuh kepada kerajaan negeri dan Persekutuan supaya membuka semula Taman Negara untuk pengunjung domestik selari dengan kebenaran rentas daerah malah penduduk di situ sudah pun mencapai imuniti kelompok.

Jelasnya, penduduk tempatan yang bergiat aktif dalam sektor ekopelancongan sebelum ini terjejas teruk setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersilih ganti sejak tahun lalu berharap aktiviti pelancongan dihidupkan semula dengan kebenaran melawat kemudahan di hutan tropika Taman Negara.

“Penggiat dan pengusaha di sini sudah hadam dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta amalan norma baharu arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti mana di tempat awam lain yang membabitkan tumpuan orang ramai dan akan memberikan keutamaan jika taman ini dibuka.

“JKKK dan persatuan pengusaha pelancongan di sini telah bersedia menerima pengunjung serta bertegas aspek kepatuhan peraturan MKN demi jamiman keselamatan dan keselesaan pelawat ketika berkunjung ke sini dalam tempoh penguatkuasaan PKP ini,” katanya di sini semalam.

Pengusaha pusat inap Greenland Guesthouse, Afzal Abd. Aziz berkata, dia juga menaruh harapan supaya gelombang pelancongan yang diuar-uarkan oleh kerajaan supaya lebih adil dengan merealisasikan ke semua pusat pelancongan di Pahang bukan hanya memfokuskan sebuah tempat sahaja.

“Penggiat dan pengusaha di sini sudah menjadikan aktiviti pelancongan Taman Negara sebagai punca rezeki dan sewajarnyalah taman ini dibuka untuk kami memperoleh pendapatan dalam tempoh sebelum musim pejur.

 

Tebing Guesthouse antara pusat inap milik pengusaha tempatan yang menyediakan kemudahan bagi pelawat berekreasi di Kampung Kuala Tahan, Jerantut, Pahang. – HARIS FADILAH AHMAD

“Saya yakin sekiranya taman ini dibuka sudah tentu ramai pengunjung domestik dari daerah lain di negeri ini yang sudah melengkapi suntikan vaksin akan datang memenuhi pusat inap di sini di samping menyertai aktiviti rekreasi dan riadah seperti tahun-tahun sebelum ancaman pandemik Covid-19,” katanya.

Ujar Afzal, pembukaan pusat peranginan hutan tropika itu lebih bermakna bagi pengunjung menikmati keindahan alam sekitar dapat melepaskan tekanan apabila menikmati semula fenomena kehijauan flora dan kepelbagaian fauna setelah terkurung hampir dua tahun akibat wabak halimunan Covid-19.-UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI