22 tahun pengalaman saya cukup faham apa pelabur mahukan - Rafidah Aziz - Utusan Malaysia

22 tahun pengalaman saya cukup faham apa pelabur mahukan – Rafidah Aziz

RAFIDAH AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin ibarat memecut dalam perlumbaan 100 meter dengan lutut terkehel kerana tidak mempunyai asas kukuh dan boleh dijangka. 

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Rafidah Aziz berkata, beliau terkejut dengan segala perancangan yang terkandung di dalamnya yang memberi tumpuan kepada semua aspek, namun hakikatnya ia tidak seperti yang digambarkan. 

Beliau membangkitkan persoalan terhadap rancangan mengenai bagaimana entiti perniagaan domestik boleh dihidupkan kembali dan dipersiapkan bagi meyakinkan pelabur tempatan dan asing bahawa di Malaysia terdapat cara untuk memenuhi permintaan Rantaian Nilai Pengeluaran masing-masing.

Malah, beliau mempersoalkan pelabur asing mana yang akan melabur di negara ini setelah dasar pemilikan saham bumiputera yang baharu diumumkan kerajaan dilihat bermotivasikan politik selain syarikat tempatan sendiri melarikan diri ke luar negara. 

“Dasar ini akan menghalang Malaysia daripada menjadi destinasi pilihan pelabur. Hakikatnya, kerajaan yang tidak stabil dengan perbelanjaan negara dan tahap tadbir urus yang lemah akan membuatkan pelabur menjadi semakin jauh. 

“Dengan pengalaman selama 22 tahun sebagai menteri sudah cukup membuatkan saya faham apa yang pelabur asing dan pelancong inginkan iaitu memanfaatkan kemudahan pendidikan dan keindahan Malaysia. 

“Tentunya, hanya kerajaan yang tidak cekap sahaja yang akan membantutkan hasrat pelabur yang berpotensi dan merancang untuk melabur tidak selalunya perlu berakhir dengan pelaburan sebenar,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, semalam. 

Kelmarin, kerajaan memperuntukkan RM400 bilion dalam RMK12 dengan memberikan tumpuan kepada enam negeri selain mempertingkatkan ekuiti korporat dalam memperkasakan agenda bumiputera. 

Katanya, pegangan saham bumiputera berada pada 17.2 peratus, bukan bumiputera 25 peratus, entiti asing 45.5 peratus dan pemegangan saham nominee 12.3 peratus.

Bagaimanapun, pembangkang mendakwa rancangan kerajaan meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera akan meminggirkan warganegara Malaysia lain selain disifatkan tidak adil untuk golongan bukan bumiputera. 

Isu pemilikan ekuiti bumiputera kembali diperdebat sejak minggu lalu di tengah perancangan supaya 51 peratus pegangan ekuiti dalam syarikat tempatan yang menceburi Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS) dipegang bumiputera.

Malangnya, rancangan tersebut mendapat bantahan daripada Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) atas alasan sukar untuk mencari syarikat bumiputera yang mahu membeli pegangan mereka pada masa ini.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pelaksanaan peraturan ekuiti bumiputera untuk syarikat tempatan yang menceburi IILS ditangguh sehingga akhir tahun depan bagi membolehkan unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menilai dasar tersebut. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN