200 daripada 563 guru masih tolak vaksin tanpa alasan kesihatan

200 daripada 563 guru masih tolak vaksin tanpa alasan kesihatan

MAZLAN Bujang (kanan) melihat seorang pelajar menerima vaksin di SMK Taman Daya, Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 200 daripada 563 guru di negeri ini masih menolak daripada menerima suntikan vaksin Covid-19 tanpa alasan kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, 363 daripadanya pula memberi alasan faktor kesihatan dengan majoriti mereka adalah guru wanita yang sedang mengandung dan bimbang suntikan akan menjejaskan kandungan.

“Ada guru wanita yang hamil bimbang suntikan itu akan memberi kesan dan kita tidak paksa mereka. Guru wanita berkenaan kata lepas bersalin akan ambil suntikan vaksin dan mereka bukan anti vaksin.

“Daripada jumlah 563 ini terdapat kira-kira 200 guru yang enggan divaksin tanpa mempunyai masalah kesihatan,” katanya sempena Program Imunisasi Kebangsaan Bagi Vaksinasi Pelajar Sekolah Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya, di sini hari ini. 

Pada bulan lalu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mendedahkan seramai 779 guru di negeri ini dilaporkan menolak untuk divaksinasi dan memberikan alasan mereka membuat keputusan itu kerana ragu-ragu dengan vaksin.

Susulan itu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan wakil guru bagi mencari penyelesaian di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini pada 27 Ogos lalu. 

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pihaknya menyerahkan perkara berkenaan kepada Kementerian Pendidikan untuk sebarang tindakan terhadap 200 guru itu yang masih ingkar dan menolak untuk divaksin.

Jelasnya, pendekatan berhemah perlu diambil dengan memberi penjelasan dan penerangan berkenaan vaksinasi terus untuk memberi kefahaman yang jelas kepada mereka.

“Jumlah keseluruhan guru yang enggan divaksin itu amat kecil iaitu kira-kira satu peratus daripada 48,000 guru yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjunjung kasih dengan keprihatinan Tunku Ismail sanggup bertemu guru-guru yang enggan divaksin itu.

“Kita lihat selepas perjumpaan Tunku Ismail, jumlah berkurangan dan perjumpaan ini membuahkan hasil. Tunku Ismail semasa pertemuan itu berkongsi pengalaman, suasana dan memberitahu persepsi awal baginda sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya