PUTRAJAYA: Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menyarankan semua parti siasah di negara ini melaksanakan ‘gencatan senjata’ bagi meredakan ketegangan politik yang panas ketika ini.
Gesaan tersebut disuarakan beliau selaku Ahli Parlimen Indera Mahkota sebagai merujuk senario politik tanah air yang dianggap bermasalah meskipun telah bertukar kerajaan baharu.
Justeru, beliau dalam nada merayu memohon jasa semua pemimpin politik tempatan supaya mengurangkan perbalahan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dalam masa terdekat.
“Saya merasakan antara tempoh sekarang sehingga PRU itu, kita perlu masa untuk tenang dan harus ada semacam ‘gencatan senjata politik’ antara semua orang politik,” katanya yang juga Menteri Luar dalam sidang akhbar pertama selepas melaporkan diri bertugas di Wisma Putra di sini hari ini.
Gesaan beliau itu dipercayai merujuk ketidaktentuan politik negara selepas ada ‘cakap-cakap’ pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan Kabinet baharu dan dianggap kitar semula selain tekanan parti terlibat yang membayangkan mahu ‘balas dendam’ dalam usul percaya keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang memberi gambaran kurang selesa senario tidak sihat itu yang mencetuskan pula suasana tidak stabil.
“Saya ingin seru teman saya dalam politik khasnya ahli Parlimen untuk kita ikut titah nasihat Yang di-Pertuan Agong agar kita kurang pergeseran dan pertelingkahan politik,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau memberi contoh sikap keterbukaan Ismail Sabri dan dibuktikan melalui pertemuan dengan tiga tokoh pembangkang setelah dilantik sebagai Perdana Menteri.
Keadaan cukup harmoni itu menggambarkan pemimpin siasah tanah air, wajar memanfaatkan masa ketika ini untuk bertenang dan lebih memberi fokus usaha memerangi wabak Covid-19.
Kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang jelas beliau, disaran agar benar-benar menumpukan kepada agenda pembangunan ekonomi negara untuk bangkit pulih semula demi rakyat.
“Saya sendiri secara peribadi berasa perlu disetkan semula politik tempatan dan apabila tiba ketika PRU ke-15, rakyat akan berhak pilih siapa yang mentadbir negara ini,” kata Saifuddin.