KUANTAN: Seramai 173,000 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 pada 20 September ini.
Keutamaan kepada remaja berusia 16 hingga 17 tahun serta 12 hingga 15 tahun yang bermasalah kesihatan.
Turut diutamakan, remaja orang kelainan upaya (OKU) dari institusi-institusi pemulihan dan perlindungan, serta golongan rentan termasuk gelandangan.
Selain pelajar dari sekolah-sekolah menengah kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), yang turut terlibat ialah dari sekolah-sekolah menengah agama negeri kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan institusi-institusi pendidikan kelolaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua mereka akan menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditetapkan, di bawah penyelarasan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
“Seperti mana disyaratkan, remaja-remaja ini perlu mengisi borang kebenaran ibu bapa atau penjaga, sebelum dibenarkan menerima suntikan.
“Kepada bakal penerima suntikan serta ibu bapa atau penjaga terlibat, saya berharap dapat berikan kerjasama sebaik-baiknya demi mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan kita, yang boleh membantu menangani penularan wabak Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN