JOHOR BAHRU: Sejumlah 1,665 kekosongan melibatkan pelbagai jawatan di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan diisi sepenuhnya dalam masa terdekat bagi memastikan perkhidmatan jabatan itu berada pada tahap optimum.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, kekosongan jawatan itu melibatkan pengurusan tertinggi dan profesional serta kumpulan pelaksana.
Menurut beliau, kesemua jawatan berkenaan perlu diisi dengan segera kerana JBPM merupakan satu perkhidmatan penting.
“Setakat ini, terdapat sebanyak 55 kekosongan daripada 490 perjawatan bagi pengurusan tertinggi dan profesional, manakala sebanyak 1,610 kekosongan daripada 14,026 perjawatan melibatkan kumpulan pelaksana.
“Kita masih kekurangan anggota kerana proses pengambilan sedikit perlahan ketika ini akibat pandemik Covid-19. Insya-Allah kita akan cari jalan mengisi kekosongan kerana tidak mahu perkhidmatan tergendala atau terencat kerana kekurangan kakitangan,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Ibu pejabat JBPM Johor di Kangkar Tebrau, di sini hari ini.
Tambah Ismail, pihaknya berharap dengan pengisian kekosongan jawatan di JBPM, ia akan dapat meningkatkan tempoh masa bertindak ke tahap antarabangsa.
Katanya, disasarkan kira-kira 30 peratus perjawatan di JBPM juga akan diisi oleh kaum wanita kerana terdapat bidang kerja yang memerlukan kelebihan dimiliki mereka.
“Memang matlamat kita untuk memastikan 30 peratus anggota terdiri daripada kaum wanita kerana ada tugas tertentu yang memerlukan kepakaran mereka, disebabkan itu ada tempat ketuanya wanita.
“Umpamanya apabila berlaku insiden yang menyebabkan mangsa berdepan tekanan psikologi, keperibadian dan personaliti anggota wanita boleh membantu menenangkan mangsa.
“Kita akan lihat di mana tempat kelebihan mereka itu diperlukan dan mereka akan bertugas di samping anggota lelaki, namun buat masa ini sasaran itu masih belum dicapai,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis memberitahu, terdapat sebanyak 174 kekosongan melibatkan pelbagai jawatan di peringkat negeri dan pihaknya turut berharap kekosongan itu akan dapat diisi dengan segera.
“Kekosongan ini turut melibatkan anggota yang memikul tanggungjawab selaku Ketua Balai dan Penolong Ketua Balai, jadi kita berharap ia akan dapat dipenuhi bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberi kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN










