SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, melawat sebuah tapak pembuatan kapal selam berkuasa nuklear dan menyelia ujian pelancaran peluru berpandu anti-pesawat jenis baharu, menurut laporan media kerajaan.
Dalam lawatan pada Rabu ke loji kapal selam nuklear itu, Jong Un mengkritik usaha terkini Korea Selatan untuk membangunkan kapal selam berkuasa nuklear bersama AS, sambil menyifatkannya sebagai satu ancaman yang mesti ditangani, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini memberi kelulusan kepada Korea Selatan untuk membina kapal selam berkuasa nuklear semasa lawatannya ke negara itu pada Oktober lalu, langkah yang mencetuskan kemarahan Korea Utara yang memiliki senjata nuklear.
Bagaimanapun, butiran utama projek tersebut termasuk lokasi sebenar pembinaan kapal selam berkenaan masih belum dipastikan.
Gambar yang disiarkan KCNA menunjukkan Jong Un berjalan di sisi sebuah kapal selam seberat kira-kira 8,700 tan di dalam sebuah tapak pemasangan tertutup, dikelilingi pegawai kanan serta anak perempuannya, Kim Ju Ae.
Dalam satu lagi imej, Jong Un kelihatan tersenyum semasa menerima taklimat rasmi dengan Ju Ae berdiri di sebelahnya.
Hanya segelintir negara di dunia memiliki kapal selam berkuasa nuklear, manakala AS menganggap teknologi berkenaan sebagai antara rahsia ketenteraan paling sensitif dan dikawal ketat.
Bulan lalu, dalam reaksi pertama Korea Utara terhadap perjanjian AS–Korea Selatan itu, satu ulasan KCNA menyifatkan program berkenaan sebagai cubaan konfrontasi yang berbahaya dan memberi amaran ia boleh mencetuskan ‘fenomena domino nuklear’.
Menurut KCNA, Jong Un berkata, situasi keselamatan semasa yang negatif menjadikan usaha mempercepatkan penuklearan angkatan laut sebagai satu tugas mendesak dan pilihan yang tidak dapat dielakkan.
“Jong Un turut diberi taklimat mengenai penyelidikan berterusan terhadap senjata rahsia bawah air baharu dan menjelaskan pelan strategik untuk menyusun semula angkatan laut serta menubuhkan unit-unit baharu,” menurut laporan itu tanpa perincian lanjut.
Dalam laporan berasingan, KCNA berkata, Jong Un pada Rabu menyelia ujian pelancaran peluru berpandu anti-pesawat jarak jauh altitud tinggi jenis baharu di atas Laut Timur, yang juga dikenali sebagai Laut Jepun.
“Peluru berpandu yang dilancarkan tepat mengenai sasaran simulasi pada ketinggian 200 kilometer. Jika disahkan, ketinggian itu berada di ruang angkasa.
“Rakan seperjuangan yang dihormati, Jong Un, menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan ujian pelancaran tersebut,” kata KCNA.










