DHAKA: Tokoh politik utama dan calon perdana menteri, Tarique Rahman pulang ke Bangladesh semalam dan disambut oleh lautan penyokong selepas lebih 17 tahun hidup dalam buangan.
Tarique, anak kepada bekas Perdana Menteri, Khaleda Zia dan pewaris kepimpinan Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), dilihat berjabat tangan dengan pemimpin parti sebaik tiba di Lapangan Terbang Dhaka.
Diiringi isteri dan anak perempuannya, beliau melambai kepada penyokong sebelum beredar menaiki konvoi di bawah kawalan keselamatan ketat, menurut rakaman video yang dikongsi parti itu.
Sejak awal pagi Khamis, penyokong BNP mula berkumpul di ibu negara, menghiasi jalan-jalan dengan sepanduk dan kain rentang memaparkan imej Tarique.
Lagu-lagu patriotik dipasang melalui pembesar suara, manakala replika menggambarkan beliau menunggang kuda jantan turut dipamerkan.
Tarique meninggalkan Bangladesh ke London pada 2008 selepas apa yang disifatkannya sebagai penganiayaan politik.
Sebagai Pengerusi Pemangku BNP, Tarique akan mengetuai parti itu menghadapi pilihan raya umum pada 12 Februari, iaitu pilihan raya pertama sejak pengunduran bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina susulan kebangkitan yang diterajui pelajar tahun lalu.
BNP dilihat secara meluas sebagai pendahulu pilihan raya, dengan Tarique dijangka dicalonkan sebagai perdana menteri sekiranya parti itu memenangi majoriti.
Ibunya, Khaleda, kini menjalani rawatan di sebuah hospital di Dhaka akibat masalah kesihatan yang berpanjangan.
Walaupun bertahun-tahun mengalami masalah kesihatan dan pernah dipenjarakan, Khaleda pada November lalu berikrar untuk berkempen dalam pilihan raya akan datang.
Namun, beliau dimasukkan ke hospital tidak lama selepas pengumuman itu dan sejak itu ditempatkan di unit rawatan rapi.
Kepulangan Tarique berlaku ketika negara itu masih bergelut dengan ketegangan susulan pembunuhan pemimpin pelajar popular, Sharif Osman Hadi, seorang pengkritik tegar India yang terlibat dalam kebangkitan besar-besaran tahun lalu.
Sharif, 32, ditembak oleh penyerang bertopeng di Dhaka awal bulan ini dan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya di sebuah hospital di Singapura.
Kematian beliau mencetuskan protes ganas, dengan kumpulan perusuh membakar beberapa bangunan, termasuk dua akhbar utama yang didakwa pro-India, serta sebuah institusi kebudayaan terkemuka.-AFP










