JOHOR BAHRU: Dianggarkan seramai lebih 1,600 penduduk di beberapa kawasan di sekitar daerah ini terjejas setelah kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat yang berlaku pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami antaranya Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Laut di Skudai serta Jalan Permatang dan Jalan Denai Utama di Kempas.
Beberapa gambar yang tular di media sosial menunjukkan beberapa kawasan di pusat bandar Johor Bahru turut terkesan berlakunya banjir kilat.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor berkata, pihaknya menerima maklumat tentang banjir kilat kira-kira 6.50 pagi melibatkan beberapa lokasi berasingan.
Menurutnya, banjir kilat itu berlaku berpunca hujan lebat yang turun kira-kira pukul 6 pagi dan berlarutan lebih dua jam.
Katanya, susulan panggilan kecemasan diterima, beberapa pasukan bomba dari balai berhampiran digerakkan ke lokasi untuk tujuan pemantauan bagi memastikan tidak ada yang terperangkap dan tugas pemindahan sekiranya memerlukan.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, banjir kilat menjejaskan lebih 1,600 penduduk, namun begitu kesemua lokasi tersebut tiada operasi pemindahan penduduk yang dilaksanakan. Paras air juga mula menunjukkan penurunan,” katanya di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE