TAMPIN: Sebanyak 12,000 dos vaksin CanSino dihantar ke Negeri Sembilan bulan ini untuk diberikan kepada masyarakat orang Asli yang berada di pedalaman.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penghantaran pertama dihantar sebanyak 2,000 dos pada 13 September ini manakala bakinya pada 27 September ini.
“Kita akan hantar 2,000 dos CanSino pada 13 September dan 10,000 dos pada 27 September di Negeri Sembilan iaitu 12,000 dos pada bulan ini.
“Tidak banyak yang kita terima pada bulan September tetapi dos-dos ini kita boleh gunakan untuk kawasan pedalaman dan perkampungan orang Asli, yang mudah untuk kita beri vaksin satu dos sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Hospital Tampin dekat sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, situasi yang berlaku di Negeri Sembilan ketika ini iaitu seperti kadar pemberian vaksin yang tinggi serta penurunan kes jangkitan Covid-19 dan kejayaan untuk beralih fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) turut dialami di Lembah Kelang tidak lama lagi.
“Bibit-bibit pemulihan sudah mula dilihat di Negeri Sembilan, sebanyak 82 peratus populasi dewasa lengkap menerima dua dos vaksin, penggunaan katil di unit rawatan rapi dan hospital Covid-19 juga telah berada di bawah 70 peratus.
“Kejayaan di Negeri Sembilan mungkin jadi petanda, apa yang akan berlaku di Lembah Kelang tidak lama lagi. Sebab ia mempunyai kadar vaksinasi yang sama dengan Negeri Sembilan atau mungkin lebih tetapi kerana (faktor) kepadatan penduduk,” jelasnya.
Dalam pada itu, Khairy mengingatkan rakyat di negeri ini untuk sentiasa mengamalkan pendekatan kesihatan awam yang disarankan walaupun Negeri Sembilan beralih ke Fasa 3 dalam PPN.
“Kita juga perlu sentiasa berhati-hati, kita tidak mahu tergesa-gesa membuka lebih banyak lagi sektor tanpa melaksanakan penilaian risiko yang ketat.
“Walaupun telah sampai ke Fasa 3, kita perlu sentiasa mengamalkan pendekatan kesihatan awam yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan terutama pemakaian pelitup muka, ia sangat-sangat penting dan harus kita teruskan,” katanya. – UTUSAN ONLINE